Isnin, 7 September 2015 | 7:55pm
BURSA Malaysia ditutup rendah hari ini dalam dagangan berhati-hati. - Foto fail NSTP
BURSA Malaysia ditutup rendah hari ini dalam dagangan berhati-hati. - Foto fail NSTP

Saham KL ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dalam dagangan berhati-hati, selari dengan prestasi kebanyakan bursa serantau berikutan ketidaktentuan mengenai sama ada Rizab Persekutuan US (FED) akan terus menangguhkan cadangan untuk menaikkan kadar faedah bulan ini.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.31 mata atau 0.39 peratus, diheret turun oleh kerugian saham-saham wajaran tinggi, dan ditutup pada 1,582.85.

Indeks utama mencecah paras terendah harian pada 1,567.91 hari ini.

"Kebanyakan pasaran saham Asia merosot hari ini, mengambil petunjuk daripada penurunan Wall Street pada Jumaat.

"Laporan pekerjaan Ogos US gagal memberikan gambar jelas mengenai keputusan FED untuk menaikkan kadar faedah," kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen serantau mungkin kembali positif jika ekonomi China menunjukkan tanda-tanda penstabilan.

Kaunter rugi dalam komponen saham FBM KLCI diketuai Sime Darby yang merosot 18 sen kepada RM7.37, diikuti Maxis susut tujuh sen kepada RM6.52, TNB merosot lapan sen kepada RM11.00 manakala Axiata turun lima sen kepada RM5.86.

Bagi kaunter aktif, IFCA MSC meningkat 4.5 kepada 75.5 sen, APFT susut setengah sen kepada 21.5 sen manakala Tiger Synergy turun satu sen kepada 8 sen.

Berdasarkan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 401 berbanding 330, 311 kaunter tidak berubah, 771 tidak diniagakan dan 10 lagi digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.68 bilion unit bernilai RM1.53 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM1.58 bilion pada Jumaat.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 40.43 mata kepada 10,841.61, Indeks FBMT100 susut 44.62 mata kepada 10,581.17 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 64.05 mata kepada 11,366.06.

FBM 70 turun 57.90 mata kepada 11,580.23 manakala FBM Ace meningkat 35.59 mata kepada 5,164.79.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan susut 27.31 mata kepada 3,038.55, Indeks Kewangan turun 27.52 mata kepada 13,897.11 manakala Indeks Perladangan merosot 14.11 mata kepada 6,799.18.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 734.95 juta unit bernilai RM1.27 bilion berbanding 960.96 juta unit bernilai RM1.32 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 256.82 juta saham bernilai RM73.98 juta saham berbanding 434.73 juta saham bernilai RM124.66 juta sebelumnya.

Waran meningkat kepada 691.98 juta unit bernilai RM184.68 juta berbanding 452.89 juta unit bernilai RM132.08 juta pada Jumaat.

Barangan pengguna menyumbang sejumlah 40.84 juta saham yang diurusniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (138.62 juta), pembinaan (33.09 juta), perdagangan dan perkhidmatan (286.01 juta), teknologi (32.12 juta), infrastruktur (9.38 juta), SPAC (24.17 juta), kewangan (44.57 juta), hotel (739,600), hartanah (102.98 juta), perladangan (10.90 juta), REIT (11.46 juta), dan dana tertutup (46,500). - BERNAMA

Berita Harian X