Isnin, 24 Ogos 2015 | 6:50pm

Pasaran perumahan Malaysia amat tidak mampu dimiliki - KRI

PENGARAH Institut Penyelidikan Khazanah, Datuk Charon Mokhzani (dua dari kiri) bersama Pengerusi, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (dua dari kanan), Pengarah Penyelidikan, Program Bandar, Suraya Ismail (kanan) dan Pengarah Pemegang Amanah Khazanah, Nungsari Ahmad Radhi (kiri) semasa pelancaran makalah terbitan institut 'Making Housing Affordable' (Menjadikan Perumahan Mampu Dimiliki), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
PENGARAH Institut Penyelidikan Khazanah, Datuk Charon Mokhzani (dua dari kiri) bersama Pengerusi, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (dua dari kanan), Pengarah Penyelidikan, Program Bandar, Suraya Ismail (kanan) dan Pengarah Pemegang Amanah Khazanah, Nungsari Ahmad Radhi (kiri) semasa pelancaran makalah terbitan institut 'Making Housing Affordable' (Menjadikan Perumahan Mampu Dimiliki), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berpandangan wujud keperluan mengurangkan ketidakcekapan dalam bekalan perumahan semasa dan campur tangan agar pembekal lebih anjal untuk bertindak balas terhadap keperluan semua segmen dalam populasi.

Pengarah Urusan, Datuk Charon Mokhzani, berkata kumpulan isi rumah berpendapatan sederhana tidak layak sama ada untuk perumahan rakyat atau yang dibekalkan oleh sektor swasta.

"Justeru dasar harus ditambah baik bagi meningkatkan keanjalan dalam bekalan perumahan dan menjadikannya lebih responsif terhadap keperluan semua bahagian dalam populasi," katanya pada pelancaran makalah terbitan institut 'Making Housing Affordable' (Menjadikan Perumahan Mampu Dimiliki), di sini hari ini.

Penerbitan itu dilancar oleh Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Charon berkata, dengan menggunakan ukuran yang diterima global bagi perumahan mampu milik, laporan KRI mendapati pasaran perumahan Malaysia disifatkan sebagai 'amat tidak mampu dimiliki', dengan harga rumah median 4.4 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah sederhana.

"Lazimnya dalam pasaran mampu milik, harga rumah median ialah tiga kali ganda pendapatan tahunan isi rumah sederhana. Di Kuala Lumpur yang pendapatan isi rumah sederhana paling tinggi, definisi perumahan mampu milik ialah sekitar RM280,000," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya pemaju juga harus melancarkan rumah (mampu milik) pada harga bermula daripada RM100,000, selain projek mewah.

Charon berkata, tanggapan umum ialah harga rumah yang mahal disebabkan oleh kos tanah dan pembinaan yang tinggi, namun laporan KRI menunjukkan sebaliknya iaitu peningkatan harga rumah adalah faktor penentu kenaikan harga tanah.

Beliau berkata, adalah amat penting untuk melihat semula perumahan sebagai isu kebajikan rakyat dan menggerakkan usaha ke arah agenda lebih luas iaitu memacu dan mengurus sektor perumahan sebagai satu unit.

Laporan KRI menggesa fokus dalam dasar perumahan dianjak daripada dipacu inisiatif kepada mengurangkan ketidakcekapan dalam bekalan perumahan.

Ia menyarankan pembaharuan dan penstrukturan semula institusi dengan pemaju dan agensi perumahan kerajaan memperoleh bahan dan perkhidmatan daripada industri pembinaan atau dikenali sistem perolehan bagi perumahan.

Terdahulu, Nor Mohamed dalam ucapannya berkata industri perumahan yang dinamik dan swapembiayaan dapat membantu kerajaan berjimat dalam subsidi perumahan.

"Adalah amat penting untuk mempertingkat kapasiti di pihak pembekal bagi membangunkan sektor perumahan yang mapan dan responsif," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X