Khamis, 13 Ogos 2015 | 7:44pm

Keputusan sertai TPPA berdasarkan penelitian - Mustapa

MUSTAPA pada taklimat media mengenai perkembangan rundingan TPPA di sini, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
MUSTAPA pada taklimat media mengenai perkembangan rundingan TPPA di sini, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Malaysia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dibuat berdasarkan hasil Kajian Kos Faedah dan Kajian Kepentingan Nasional yang bakal dibahaskan di Parlimen kelak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata hasil kajian itu mustahak berikutan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, antara negara perdagangan yang terbesar di dunia dan agak bergantung kepada pelaburan.

Dalam masa sama, katanya, Malaysia sudah memeterai beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) sebelum ini, namun TPPA adalah subjek yang lebih besar dan disebabkan itulah kerajaan membuat keputusan untuk membuat penelitian melalui Kajian Kos Faedah dan Kajian Kepentingan Nasional.

"Analisis Kos Faedah dan Kajian Kepentingan Nasional adalah kajian komprehensif yang memasukkan semua perkembangan semasa membabitkan negara. Kajian sedang dibuat oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers (PwC).

"Kami difahamkan kajian itu sudah memasuki beberapa peringkat yang termaktub dalam TPPA dan sebarang maklumat terkini akan diumumkan apabila siap 100 peratus kelak. Ia akan mengambil masa," katanya pada taklimat media mengenai perkembangan rundingan TPPA di sini, hari ini.

Malaysia membuat keputusan untuk tidak memeterai TPPA pada mesyuarat Menteri-Menteri Perjanjian Perkongsia Trans Pasifik (TPP) di Hawaii pada 28 hingga 31 Julai lalu.

Selain Malaysia, TPP disertai oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.

Berita Harian X