Sabtu, 1 Ogos 2015 | 6:54pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Halim Salleh
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Halim Salleh

Malaysia teruskan rundingan TPPA berasaskan mandat Kabinet

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) berasaskan mandat yang diberikan Kabinet untuk mempertahan dan mempromosi kepentingan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada Mesyuarat Peringkat Menteri TPP di Maui, Hawaii, Malaysia mengetengahkan kebimbangan dan sensitiviti spesifik bidang pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan isu Bumiputera berikutan isu tertangguh ini menyentuh perlembagaan dan adalah antara teras dasar negara.

Mengenai hak harta intelek, Mustapa berkata pendirian Malaysia dalam rundingan itu bertujuan memastikan orang awam mempunyai akses kepada ubat dan penjagaan kesihatan pada harga berpatutan, dan pada masa yang sama menyediakan insentif perlu untuk pembangun inovasi menghasilkan ubat-ubatan baharu.

Mengenai akses pasaran, Malaysia sudah memuktamadkan rundingan dengan kebanyakan pihak, yang membolehkan duti import kebanyakan produk dimansuhkan.

Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, New Zealand dan Vietnam terbabit dalam rundingan TPP.

"Hasil rundingan ini akan membuka peluang kepada akses pasaran, terutama dalam pasaran yang mana Malaysia tidak menjalin Perjanjian Perdagangan Bebas seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

"Ia akan memberi kelebihan saingan kepada pengeksport Malaysia berbanding pesaing serantaunya dalam pengeksportan produk seperti elektrik dan elektronik, produk kimia, minyak sawit, getah, kayu, tekstil serta komponen dan peralatan automotif," kata Mustapa dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, Malaysia terbabit dalam rundingan TPP disebabkan negara yakin dapat mempromosi agenda perdagangan dan pelaburan negara.

Sebagai ekonomi terbuka dan antara negara yang menerima manfaat daripada regim perdagangan dan pelaburan terbuka, kita perlu bergerak selari dengan perkembangan serantau, katanya.

Malaysia akan terus meningkatkan kefahaman rakyat mengenai TPP selain perundingan dengan Kaukus Parlimen, masyarakat sivil dan pemegang kepentingan yang lain bagi berkongsi pendirian kerajaan terhadap pelbagai isu.

"Kami mahu menegaskan bahawa jika rundingan TPP dimuktamadkan, teksnya akan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan. Sama ada Malaysia akan menjadi pihak dalam TPP adalah keputusan secara kolektif, jelas Mustapa.

Beliau berkata, pendirian kukuh kerajaan bertujuan memastikan kedaulatan perlembagaan dan dasar teras seperti agenda Bumiputera dilindungi dan didukung.

Mesyuarat Peringkat Menteri TPP berlangsung di Maui dari 28 hingga 31 Julai.

Ia didahului dengan mesyuarat Ketua-Ketua Perunding TPP dari 24 hingga 27 Julai.

Pada akhir mesyuarat itu, masih ada beberapa isu yang memerlukan setiap wakil negara membincangkannya dengan kerajaan dan pemegang kepentingan masing-masing. - BERNAMA

Berita Harian X