Rabu, 24 Jun 2015 | 3:55pm

MARA: Pertumbuhan hasil aset luar negara melebihi sasaran

ANNUAR Musa mengadakan sidang media mengenai isu skim pinjaman pelajaran MARA di Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut.- Foto Azhar Ramli
ANNUAR Musa mengadakan sidang media mengenai isu skim pinjaman pelajaran MARA di Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut.- Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Aset luar negara Mara Incorporated Sdn Bhd menunjukkan prestasi baik dengan pertumbuhan hasil melebihi sasaran, termasuk Dudley International House di Melbourne, Australia yang sangat diteliti.

Mara Incorporated, sayap pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara) membeli bangunan lima tingkat di pinggir bandar Caulfield untuk menempatkan penuntut tajaan Mara yang melanjutkan pengajian di Monash University.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa, berkata aset di Australia menunjukkan prestasi sangat baik dan disokong kadar pertukaran yang menggalakkan dan peningkatan modal, ia berada di landasan untuk mencapai unjuran pendapatan.

Mara kini dikritik berkenaan pemerolehan itu, selepas akhbar harian Australia, The Age, melaporkan pembelian itu dikaitkan dengan rasuah dan mendakwa ia dibeli pada harga jauh lebih tinggi.

Dalam menyelesaikan isu itu, Annuar berkata Mara tidak mengetahui hartanah berkenaan dibeli pada harga berkenaan, namun, ia mengambil maklum dakwaan tersebut secara serius dan akan melaksanakan tindakan yang perlu untuk menyelesaikan isu itu.

"Mara Incorporated diberi masa seminggu untuk menyerahkan laporan mengenai pembelian bangunan itu pada harga A$22.5 juta.

"Kami jamin anda bahawa jika terdapat penipuan atau salah laku dalam transaksi itu, kami akan mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan," katanya.

Mara Incorporated juga memiliki sebuah hotel di London.

Ditanya sama ada Mara akan melaksanakan audit bagi transaksi itu, Annuar berkata: "Ya, kami akan melaksanakan audit bagi kesemua transaksi."

Mara Incorporated pada masa ini mempunyai aset bernilai RM600 juta di Australia dan United Kingdom. - BERNAMA

Berita Harian X