Selasa, 23 Jun 2015 | 9:08pm

Saham KL ditutup rendah berikutan pengambilan untung

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini selepas pemulihan kukuh semalam berikutan pengambilan untung, walaupun prestasi meningkat di kebanyakan pasaran Asia, kata peniaga.

Pada 5 petang hari ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.90 mata kepada 1,726.86, selepas bergerak antara 1,726.86 dan 1,734.97 sepanjang hari.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 407 kepada 395, dengan 327 kaunter tidak berubah, 699 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.73 bilion unit bernilai RM1.68 bilion, daripada 1.54 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Isnin.

Peniaga berkata, dagangan di bursa tempatan kurang memberangsangkan dan dalam julat terhad, sejajar dengan kebanyakan pasaran saham Asia Tenggara yang juga dalam jajaran kecil hari ini berikutan pelabur berhati-hati mengenai perkembangan rundingan hutang Greece.

HLIB Research menyatakan, sentimen tempatan terus berhati-hati terhadap isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd dan potensi penurunan penarafan Fitch Ratings pada akhir Jun.

Menurutnya, aktiviti memperelok akaun separuh tahun pertama akan menjadi satu-satunya pemangkin domestik yang dapat dilihat berpotensi menggerakkan indeks petunjuk pasaran lebih tinggi daripada pasaran terlebih jual secara kasar.

"Menguasai semula paras 1,738 dengan cepat penting bagi bursa tempatan untuk memecahkan aliran menurun dengan sasaran kenaikan lebih tinggi pada 1,746. Sokongan utama ialah pada paras 1,718 dan 1,700," menurut firma penyelidikan itu.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM9.28, Tenaga turun empat sen kepada RM13.06, Public Bank merosot dua sen kepada RM18.92, Sime Darby menokok satu sen kepada RM8.52 manakala Axiata tidak berubah pada RM6.49.

Dalam kalangan saham cergas, KNM meningkat 5.5 sen kepada 59.5 sen, PUC Founder dan Xinghe Warrant (A) menokok setengah sen, masing-masing kepada 13.5 sen dan 2.5 sen, Perisai Petroleum naik 2.5 sen kepada 48 sen manakala Frontken susut setengah sen kepada 27.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 33.52 mata kepada 11,945.53, Indeks FBMT100 jatuh 39.21 mata kepada 11,628.41, FBM Emas Syariah merosot 24.03 mata kepada 12,434.23, FBM Ace berkurangan 33.06 mata kepada 6,555.10 dan FBM 70 susut 42.09 mata kepada 13,041.09.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 55.11 mata kepada 15,602.87, Indeks Perladangan merosot 46.23 mata kepada 7,261.52 dan Indeks Perusahaan susut 3.16 mata kepada 3,166.12

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.07 bilion saham bernilai RM1.48 bilion, daripada 855 juta saham bernilai RM1.62 bilion, dicatatkan semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 508.80 juta unit bernilai RM151.57 juta, daripada 557.89 juta unit bernilai RM181.43 juta. Waran naik kepada 152.71 juta saham bernilai RM47.95 juta, daripada 124.34 juta saham bernilai RM21.44 juta.

Barangan pengguna menyumbang 79.49 juta saham diniagakan di pasaran utama, barangan perusahaan (301.61 juta), pembinaan (34.31 juta), perdagangan dan perkhidmatan (499.38 juta), teknologi (41.68 juta), infrastruktur (9.65 juta), SPAC (2.77 juta), kewangan (32.80 juta), hotel (1.14 juta), hartanah (45.22 juta), perladangan (13.98 juta), perlombongan (10,000), REIT (6.61 juta) dan dana tertutup (16,600).

- BERNAMA

Berita Harian X