Isnin, 15 Jun 2015 | 2:02pm

Kerajaan komited perkukuh kewangan awam - Najib

NAJIB mempengerusikan mesyuarat Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
NAJIB mempengerusikan mesyuarat Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Kerajaan terus komited untuk mengukuhkan kewangan awam tanpa menjejaskan pertumbuhan, di samping menyediakan sokongan fiskal untuk inisiatif pembaharuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sasaran fiskal kita bagi 2015 kekal kukuh. Defisit ini akan terus dikurangkan kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.4 peratus pada 2014," kata beliau pada mesyuarat Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, hutang persekutuan akan dihadkan dalam 55 peratus daripada KDNK.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee Yong, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Najib berkata kerajaan menyasar untuk mempercepatkan pelaburan swasta dalam sektor ekonomi yang produktif dan menggesa sektor swasta supaya secara agresif mengeksploitasi peluang yang ada dalam Blueprint Sektor Perkhidmatan.

Sektor swasta kini menguasai 68.5 peratus daripada aktiviti ekonomi, dengan pelaburan swasta terdiri daripada 16.6 peratus daripada KDNK pada akhir tahun 2014.

Najib berkata Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), yang akan ditubuhkan pada akhir tahun, menyediakan peluang yang luas bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan boleh membantu memenuhi sasaran kerajaan untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor itu kepada KDNK pada 2020.

Sumbangan PKS kepada KDNK kini pada 35 peratus.

Beliau berkata memandangkan hubungan pelaburan dan perdagangan antara rantau yang kukuh, PKS boleh berkembang melangkaui pasaran domestik dan mengukuhkan kedudukan sebahagian daripada rantaian nilai serantau dan global.

"Saya melihat peluang yang luas bagi perniagaan kita, khususnya PKS dalam memanfaatkan kedudukan dinamik rantau ini," kata Najib.

Beliau berkata Malaysia yang bersepadu dengan baik dalam ekonomi global melalui aliran modal dan perdagangan terus menerima kesan daripada ketidaktentuan yang wujud dalam sektor luaran.

Di dalam negara, beliau berkata hutang isi rumah kekal tinggi pada 87.6 peratus daripada KDNK, walaupun meningkat pada kadar perlahan. Menurut Najib, halangan lain ialah jangkaan penurunan harga komoditi, terutamanya minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit, manakala penggunaan swasta akan menyaksikan kesederhanaan kerana tekanan inflasi sekali sahaja daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Perdana Menteri berkata pendapatan tambahan daripada GST itu akan digunakan untuk meningkatkan lagi potensi pertumbuhan ekonomi, menambah baik kesejahteraan rakyat, menjana pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan berkualiti. Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 23 Okt, akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan pertumbuhan, meningkatkan keterangkuman, serta memastikan kemampanan fiska. -- BERNAMA ZAI MKI SM AS NH

Berita Harian X