X
Khamis, 4 Jun 2015 | 1:52pm

Bursa rendah semasa akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi hari ini dengan kegiatan pengambilan untung berterusan di kebanyakan saham wajaran tinggi, kata peniaga.

Pada waktu rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.69 mata kepada 1,746.48, selepas bergerak antara 1,739.92 dan 1,749.20 sepanjang pagi.

Antara saham paling rugi ialah Far East Holdings dan British American Tobacco, yang susut 30 sen dan 18 sen setiap satu, masing-masing kepada RM8.08 dan RM61.02.

Suasana pasaran menjadi negatif dengan saham rugi mengatasi untung pada 359 berbanding 316, dengan 303 kaunter tidak berubah, 832 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 644.46 juta saham bernilai RM694.25 juta. Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank naik empat sen setiap satu, masing-masing kepada RM9.20 dan RM18.60 manakala TNB turun empat sen kepada RM13.36 dan Axiata berkurangan satu sen kepada RM6.35.

Bagi saham aktif, Kinsteel dan Connectcounty kekal, masing-masing pada 16.5 sen dan 25.5 sen manakala Efficient E-Solutions menokok satu sen kepada 28.5 sen dan Pasukhas menambah setengah sen kepada 27.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 8.24 mata kepada 12,130.15, FBM Emas Syariah susut 35.04 mata kepada 12,650.74, Indeks FBMT100 berkurangan 8.26 mata kepada 11,801.78 tetapi FBM 70 menokok 28.15 mata kepada 13,392.59.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menyusut 20.31 mata kepada 7,448.25, FBM Ace turun 8.08 mata kepada 6,620.99 dan Indeks Perusahaan kurang 15.40 mata kepada 3,211.73, manakala Indeks Kewangan meningkat 33.97 mata kepada 15,550.83. - BERNAMA

Berita Harian X