Khamis, 28 Mei 2015 | 7:17pm

Saham mewah angkat FBM KLCI lebih tinggi ketika ditutup

KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras di Bursa Malaysia ditutup 0.51 mata lebih tinggi hari ini, berikutan kenaikan dalam saham mewah terpilih.

Pada jam 5 petang, penanda aras FBM KLCI berada pada 1,755.56 selepas berlegar antara 1,750.72 dan 1,759.43 sepanjang hari.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 420 berbanding 324, manakala 333 kaunter tidak berubah, 750 tidak diniaga dan 29 lagi digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.61 bilion unit bernilai RM1.9 bilion berbanding 1.78 bilion unit bernilai RM2.19 bilion semalam.

Menerajui senarai saham paling untung, Panasonic Manufacturing menambah 38 sen kepada RM22.18, Tahps Group naik 20 sen kepada RM7, Petronas Dagangan meningkat 18 sen kepada RM20 dan Petronas Gas untung 14 sen kepada RM21.94.

HLIB Research berkata, indeks utama itu sudah mula membayangkan potensi perubahan daripada kedudukan terlalu terlebih jual.

"Bagaimanapun, berikutan kekurangan pemangkin baharu, FBM KLCI dijangka berada dalam julat paras dagangan 1,740 hingga 1,800 dalam persekitaran dagangan yang tidak menentu.

"Untuk mendapat semula aliran meningkat, indeks perlu segera menguasai paras 1,792 hingga 1,800," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.11, Tenaga jatuh enam sen kepada RM13.34, Public Bank menambah 18 sen kepada RM18.96 dan Axiata naik tiga sen kepada RM6.59.

Antara saham aktif, Frontken rugi 1.5 sen kepada 27.5 sen, K-One merosot 17.5 sen kepada 45 sen dan Sumatec tidak berubah pada 20.5 sen.

Pada papan skor, Indeks Emas FBM turun 9.37 mata kepada 12,134.11, Indeks FBMT100 susut 7.04 mata kepada 11,818.37, Indeks Syariah Emas FBM susut 10.18 mata kepada 12,597.57, the FBM 70 jatuh 47.86 mata kepada 13,241.42, dan FBM Ace merosot 105.51 mata kepada 6,615.27. - BERNAMA

Berita Harian X