Rabu, 13 Mei 2015 | 7:07pm

Ringgit ditutup lebih tinggi berikutan kenaikan harga minyak

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi hari ini berbanding dolar AS ketika harga minyak mentah melambung.

Pada jam 5 petang, mata wang tempatan itu mengukuh berbanding dolar AS kepada 3.5965/5995 daripada 3.6150/6180 semalam.

Peniaga mata wang berkata, ringgit pulih berikutan harga minyak mentah melonjak, mengurangkan kebimbangan harga minyak mentah yang rendah akan menjejaskan akaun fiskal dan dagangan Malaysia.

"Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Jun meningkat 58 sen kepada AS$67.44 setong di Asia, membuatkan ramai spekulator mula mengurangkan kedudukan pendek ke atas ringgit," katanya.

Ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan itu meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 2.7011/7035 daripada 2.7060/7103 semalam dan naik berbanding yen kepada 3.0023/0051 daripada 3.0117/0147 pada Selasa.

Ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6591/6653 daripada 5.6607/6669 semalam dan menambah berbanding euro kepada 4.0320/0368 daripada 4.0701/0750 pada Selasa. - BERNAMA

Berita Harian X