Selasa, 12 Mei 2015 | 7:13pm

Saham KL rendah setelah kurang penyertaan pelabur

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia berakhir rendah hari ini setelah kurang penyertaan pelabur walaupun pengumuman pengurangan cukai korporat secara beransur-ansur oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.88 mata kepada 1,798.61, selepas bergerak antara 1,797.01 dan 1,802.54 sepanjang hari.

Ketua Penyelidikan Mercury Securities Edmund Tham berkata, pelabur terus tidak memasuki pasaran kerana menunggu pengumuman pendapatan korporat bagi suku pertama.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri pagi tadi tidak mendorong peningkatan sentimen pasaran kerana pasaran sudah menerima pengumuman berkenaan yang dibuat ketika pembentangan Bajet 2015 tahun lalu tetapi masih menunggu pelaksanaannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam jangka panjang pengurangan cukai akan memberi kesan positif kepada aktiviti pasaran kerana korporat akan menawarkan pendapatan yang lebih menarik.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas turun 45.101 mata kepada 12,409.68, Indeks FBMT100 merosot 41.38 mata kepada 12,089.65 manakala Indeks FBM Emas Syariah kurang 38.14 mata kepada 12,895.08.

FBM ACE susut 105 mata kepada 6,889.52 dan FBM 70 berkurangan 27.529 mata kepada 13,474.65.

Indeks Kewangan merosot 57.41 mata kepada 16,026.55, Indeks Perusahaan turun 24.67 mata kepada 3,258.06 dan Indeks Perladangan berkurangan 38 mata kepada 7,417.78.

Saham rugi mengatasi untung sebanyak 576 berbanding 240, dengan 319 kaunter tidak berubah, 649 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik sedikit kepada 1.62 bilion unit bernilai RM1.7 bilion daripada 1.54 bilion unit bernilai RM1.6 bilion pada Isnin.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank berkurangan empat sen setiap satu, masing-masing kepada RM9.28 dan RM19.24, dan Sime Darby susut tujuh sen kepada RM8.95. TNB dan Axiata menambah dua sen setiap satu, masing-masing kepada RM13.82 dan RM6.76. Antara saham aktif, Kanger dan Spring Gallery susut setengah sen setiap satu, masing-masing kepada 26 sen dan 64.5 sen manakala Vsolar turun 1.5 sen kepada 15.5 sen. RGB menokok setengah sen kepada 17 sen manakala Luster kekal pada 10.5 sen.

Jumlah dagangan pasaran utama meningkat kepada 852.59 juta saham bernilai RM1.5 bilion berbanding 795.72 juta saham bernilai RM1.41 bilion pada Isnin. Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 614.04 juta saham bernilai RM128.75 juta berbanding 622.27 juta saham bernilai RM146.76 juta semalam. - BERNAMA

Berita Harian X