Khamis, 7 Mei 2015 | 11:04am

Saham KL jatuh mendadak sesi pagi

KUALA LUMPUR: Penanda aras pasaran saham tempatan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka agak rendah didorong kegiatan jualan dalam kalangan saham mewah tertentu diterajui Petronas Gas dan CIMB.

Sepuluh minit selepas dibuka, indeks utama itu susut 12.41 mata pada 1,808.56 selepas dibuka turun 12.65 mata pada 1,808.32 mata.

Petronas Gas susut 46 sen kepada RM22.28 dan CIMB turun lapan sen kepada RM5.87.

Arah aliran penurunan bursa tempatan sejajar dengan prestasi lemah di Wall Street semalaman berikutan pelabur beralih kepada bon yang menjana pulangan lebih tinggi, peningkatan harga minyak serta data pekerjaan AS dijangka lebih rendah, yang akan diterbitkan esok.

Di bursa tempatan, 66 kaunter untung, 147 rugi dan 162 tidak berubah, 1,418 tidak diniagakan dan 17 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 70.47 juta saham bernilai RM32.73 juta.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas jatuh 68.67 mata kepada 12,485.93; Indeks FBMT100 susut 70.96 mata kepada 12,164.18 dan FBM 70 jatuh 31.53 mata kepada 12,587.02 mata.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB masing-masing jatuh empat sen kepada RM9.17 dan RM14.16, Public Bank jatuh 14 sen kepada RM19.22 dan Sime Darby jatuh lima sen kepada RM9.07.

Antara kaunter aktif termasuk Zelan, Nova MSC, Kanger International dan KNM. - BERNAMA

Berita Harian X