Rabu, 6 Mei 2015 | 1:14pm

Malaysia manfaatkan pelaburan hartanah London

PENJUALAN pejabat utama KWSP - One Sheldon Square - di Paddington. - Foto skyscrapercity.com
PENJUALAN pejabat utama KWSP - One Sheldon Square - di Paddington. - Foto skyscrapercity.com

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah antara negara yang memanfaatkan pasaran hartanah yang lumayan dan telus di London, United Kingdom.

"Peraturan British yang jelas memudahkan pelabur asing menjalankan urus niaga di United Kingdom," kata Knight Frank LLP, perunding utama hartanah global bebas, menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara urus niaga terbaru membabitkan Malaysia ialah penjualan pejabat utama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) - One Sheldon Square - di Paddington kepada REIT UK British Land sebanyak STG210 juta (RM1.14 bilion) dengan hasil 4.5 peratus.

Pada 2013, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) membeli bangunan pencakar langit yang direka bentuk oleh Richard Rogers, 88 Wood Street, daripada National Pension Service of Korea membabitkan STG200 juta (RM927.11 juta), dengan hasil sebanyak 5.8 peratus.

Urus niaga lain termasuk pembelian sebuah bangunan kerajaan oleh Tabung Haji bernilai STG205 juta (RM1.11 bilion).

Selain itu, rejim percukaian dan pajakan untuk tempoh yang panjang di United Kingdom memberikan pelabur persekitaran pelaburan yang lebih terjamin, katanya, sambil menambah bahawa pelabur dapat mengakses maklumat pasaran yang tepat mengenai aset tertentu.

London adalah antara bandar terbesar dan paling dinamik di dunia, sekali gus menawarkan pelbagai peluang pelaburan. Ia mempunyai keupayaan untuk berkembang dan mewujudkan subpasaran baharu, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Berita Harian X