Jumaat, 17 April 2015 | 5:55pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar ketika berucap di majlis Pelancaran Malakoff IPO Prospektus. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar ketika berucap di majlis Pelancaran Malakoff IPO Prospektus. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sambutan sukuk bukti pelabur asing yakin ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Penerimaan kukuh terhadap program sukuk global bernilai AS$1.5 bilion (RM5.5 bilion) yang diterbitkan oleh kerajaan Malaysia, mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata usaha Malaysia yang bertumpu kepada fundamental, membantu pelabur melihat situasi sebenar ekonomi.

"Mereka dapat membezakan antara sentimen dan fundamental," katanya.

Ekonomi Malaysia kata beliau, sudah beranjak daripada pergantungan berlebihan terhadap sektor komoditi kepada pembuatan dan perkhidmatan, sekali gus mengurangkan risiko akibat ketidaktentuan komoditi.

"Kejayaan mengumpul sejumlah besar wang dalam persekitaran yang mencabar ini memberi petunjuk mengenai keyakinan pelabur terhadap ekonomi keseluruhan Malaysia," katanya selepas melancarkan prospektus Malakoff Corporation Bhd, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata terbitan sukuk global Malaysia tetap menerima maklum balas kukuh di sebalik komen negatif terhadap ekonomi negara serta cabaran yang dihadapinya kini.

"Di peringkat global, masyarakat masih percaya akan keutuhan asas ekonomi Malaysia. Ini dibuktikan menerusi permintaan yang teguh terhadap sukuk global," katanya.

Terbitan sukuk itu menyaksikan 450 pelabur global menyumbang kepada perolehan dalam tangan AS$9 bilion (RM33.3 bilion).

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata bon dijual pada kadar yang amat munasabah dan diterima baik pelabur global selepas terbitan terakhir pada 2011.

"Di sebalik masalah 1MDB (1Malaysia Development Bhd), ringgit lemah dan ketidaktentuan lain, kita masih dapat menjual sukuk dengan hasil yang amat baik," katanya.

Hakikat bahawa sukuk berupaya menarik pelabur global, terutamanya dari Asia Barat menunjukkan asas ekonomi kerajaan kekal memberangsangkan walaupun ringgit diniagakan pada sekitar 3.65 berbanding dolar AS.

Mengenai kemungkinan penurunan penarafan, Nazri berkata ia bukan satu konsensus dalam kalangan tiga agensi penarafan utama iaitu, Moody's Investors Service, S&P Ratings dan Fitch Ratings.

Selain menyatakan Fitch mempunyai hak kepada pandangannya sendiri mengenai kemungkinan penurunan penarafan, Nazri berharap ia tidak menjadi kenyataan berikutan permintaan terhadap minyak sawit meningkat, ringgit mengukuh dan pelan penstrukturan semula cukai kerajaan dijangka merangsang sektor eksport. - BERNAMA

Berita Harian X