Jumaat, 17 April 2015 | 5:48pm

Malakoff sasar raih RM2.74b daripada IPO

mahanum_aziz@bh.com.my

TAN Sri Syed Anwar Jamalullail ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran prospektus Malakoff di sini hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin
TAN Sri Syed Anwar Jamalullail ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran prospektus Malakoff di sini hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Bhd dijangka meraih dana sejumlah RM2.74 bilion menerusi terbitan awam permulaan (IPO) sebanyak 1.52 bilion saham pada harga petunjuk RM1.80 sesaham.

Berdasarkan harga petunjuk berkenaan, penyedia tenaga bebas terbesar Malaysia dan Asia Tenggara itu akan mempunyai permodalan pasaran RM9 bilion apabila ia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

IPO itu yang ditetapkan pada 15 Mei ini, akan menjadi penyenaraian terbesar Malakoff sejak 2012, mewakili hingga 30.4 peratus daripada modal berbayar dan terbitan yang diperbesarkan.

Daripada 1.52 bilion saham yang ditawarkan dalam IPO itu, 521.74 juta adalah saham sedia ada manakala 1.0 bilion lagi adalah saham baharu.

Tawaran institusi membabitkan hingga 1.279 bilion saham IPO yang diperuntukkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing serta pelabur terpilih termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada harga institusi yang akan ditentukan pada proses bidaan.

ANTARA tempat memproses loji jana kuasa arang batu Malakoff Corporation di Tanjung Bin, Pontian, Johor. - Foto Azhar Ramli
ANTARA tempat memproses loji jana kuasa arang batu Malakoff Corporation di Tanjung Bin, Pontian, Johor. - Foto Azhar Ramli

Tawaran runcit pula membabitkan 242.50 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan Malakoff dan anak syarikatnya, pengarah dan kakitangan MMC Corporation Bhd, pemegang saham MMC yang layak dan orang awam.

Pengerusi Malakoff, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, berkata dijana yang dijana akan digunakan sepenuhnya untuk menebus sukuk Musharakah junior berjumlah RM1.8 bilion.

Beliau berkata, penebusan sukuk junior itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan pengeluar tenaga bebas itu.

Katanya, Malakoff mempunyai rekod yang terbukti dari segi pembangunan, pengambilalihan dan operasi dan penyelenggaraan dalam industri penjanaan tenaga dan menuras air masin.

"Dengan penyenaraian, kami bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya sama ada menerusi kemungkinan pengambilalihan atau terus mengembangkan kehadiran kami dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

"Opsyen untuk Malakoff berkembang pada masa depan adalah cerah," katanya selepas pelancaran prospektus Malakoff di sini hari ini yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Hadir sama, Pengerusi MMC, Tan Sri Syed Abdul Jabbar Syed Hassan; Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Dalam prospektus itu, Malakoff menetapkan sasaran nisbah pembayaran dividen tidak lebih daripada 70 peratus keuntungannya.

Ketika ini, ia mempunyai kapasiti penjanaan 6,036 megawatt (MW) dan kapasiti pengeluaran air 358,850 meter padu setakat 20 Mac lalu.

Pengeluar tenaga bebas itu menyasar untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga kepada 10,000 MW dan meningkatkan kapasiti pengeluaran air kira-kira 150 peratus menjelang 2020 menerusi pengembangan di pasaran domestik dan luar negara.

Di Malaysia, Malakoff mempunyai enam loji dan satu lagi dalam pembinaan, sementara di luar negara pula, ia mempunyai empat loji dan satu masih dalam pembinaan di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) serta ladang turbin angin di Australia.

Berita Harian X