Khamis, 16 April 2015 | 9:37pm
AMINAR Rashid (kanan), Zahari dan Takamasa semasa Pelancaran aksesori baru Perodua di Bukit Bandar Puchong. - Foto Rosela Ismail
AMINAR Rashid (kanan), Zahari dan Takamasa semasa Pelancaran aksesori baru Perodua di Bukit Bandar Puchong. - Foto Rosela Ismail

PERODUA keluarkan jenama aksesori, GearUp

SUBANG JAYA: PERODUA melancarkan GearUp, jenama aksesori keluarannya dengan sasaran sumbangan hingga 15 peratus kepada pendapatan perkhidmatan selepas jualannya menjelang akhir tahun depan.

Aksesori kit badan kenderaan yang pada peringkat awal diperkenalkan untuk model Axia itu dijangka menyumbangkan sekitar tiga peratus kepada portfolio perkhidmatan selepas jualan tahun ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pengenalan aksesori GearUp menjadi sebahagian usaha pengeluar kereta itu untuk meningkatkan sumbangan portfolio selepas jualan.

Selepas aksesori untuk Axia, PERODUA akan memperkenalkan GearUp untuk Myvi pada bulan depan dan seterusnya untuk model Alza bagi fasa berikutannya.

"Kami menjangkakan hingga 90 peratus pembeli Axia akan memasang kit badan lengkap GearUp yang akan dimasukkan dalam jumlah jualan dan bayaran semula pinjaman.

"Sebagai contoh, bayaran pinjaman Axia adalah RM450 sebulan. Dengan tambahan kit badan sepenuhnya, mereka hanya perlu menambah sekitar RM50 sebulan untuk ansuran kepada bank," katanya selepas melancarkan aksesori GearUp untuk Axia di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi PERODUA, Zahari Husin dan Pengarah Kanan, Takamasa Kurinami.

GearUp menawarkan aksesori menarik seperti kit badan sporty, elegan, dalaman trendy antaranya skirting, lampu sorot dan kerusi kulit.

Aksesori yang dihasilkan di kilang PERODUA dijual pada harga RM260 hingga RM3,600 yang dipadankan dengan empat varian Axia.

Ia boleh didapati di semua 182 pusat jualan dan 183 pusat servis di seluruh negara mulai hari ini.

Bersempena pelancaran GearUp, Perodua menawarkan harga pengenalan serendah RM2,200 kepada pelanggan yang berakhir 31 Ogos ini.

Sementara itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA mengekalkan unjuran jualan 208,000 unit bagi semua modelnya tahun ini walaupun berdepan persekitaran pasaran mencabar susulan kejatuhan nilai ringgit dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

INFO :

Aksesori GearUp Axia:

Kit Badan Sporty (Axia SE & AV) RM2,024.60

Kit Badan Elegan (Axia Standard) RM2,459.20

Aksesori Dalaman Trendy (Axia SE) RM1,110.90

Aksesori Dalaman Stylish (Axia Standard) RM1,110.90

Jenis A - Pakej Kombo (Axia Standard) RM3,545.70

Jenis B - Standard + Pakej (Axia Standard) RM2,535.50

Jenis C - Pakej Kombo (Axia SE) RM2,838.70

Jenis D - Pakej Comfort (semua varian) RM546.75

Jenis E - Pakej In-Style (Axia STD) RM380.95

Berita Harian X