X
Isnin, 30 March 2015 | 2:41pm

Public Bank ikut laluan pertumbuhan organik tahun ini

SEBAHAGIAN daripada pemegang saham Public Bank hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan perbankan itu di sini hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SEBAHAGIAN daripada pemegang saham Public Bank hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan perbankan itu di sini hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Public Bank menumpu kepada strategi pertumbuhan organik tahun ini bagi mengembangkan perniagaan utama, iaitu gadai janji perumahan, pembiayaan sewa beli kenderaan penumpang dan pinjaman kepada industri kecil dan sederhana (IKS) berdaya maju.

Pengasas yang juga Pengerusi, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata berdasarkan ekonomi negara yang berkembang baik, prospek pengambilan pekerjaan stabil dan permintaan berterusan bagi hartanah kediaman, Public Bank berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan kedudukannya yang kukuh dalam pasaran bagi mengembangkan bahagian pasaran pemberian pinjamannya.

Beliau berkata, persekitaran perniagaan yang mencabar dan semakin dikawal selia, selain persaingan sengit bagi pinjaman dan deposit, akan terus memberi kesan ke atas marin keuntungan.

"Kumpulan itu dijangka mengekalkan momentum perolehan dan mencatat prestasi memuaskan dalam tahun kewangan 2015," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan perbankan itu di sini hari ini.

TAN Sri Dr Teh Hong Piow hadir mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Public Bank di sini hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
TAN Sri Dr Teh Hong Piow hadir mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Public Bank di sini hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Hadir sama Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tay Ah Lek.

Seramai 5,600 pemegang saham menghadiri AGM itu, kehadiran tertinggi setakat ini.

Public Bank mencatat untung bersih tertinggi dalam tahun kewangan 2014 sebanyak RM4.52 bilion, mewakili pertumbuhan 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai tahun lalu meningkat 9.5 peratus kepada RM5.81 bilion.

Sehubungan prestasi cemerlang itu, dividen interim kedua sebanyak 31 sen dibayar pada 5 Mac lalu.

Berserta dividen interim pertama 23 sen yang dibayar Ogos tahun lalu, jumlah dividen dibayar bagi tahun kewangan 2014 berjumlah 54 sen.

Sementara itu, Ah Lek berkata kumpulan itu tidak bercadang memasuki pasaran baru di luar negara dalam tempoh terdekat ini, sebaliknya menumpu kepada mengukuhkan kehadiran di pasaran sedia ada, termasuk mengembangkan cawangan.

Berita Harian X