Khamis, 12 March 2015 | 7:37pm

Kedudukan hutang luar negeri Malaysia kekal terurus

PUTRAJAYA: Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya hari ini menyebut, pada akhir 2014, keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan di dalam negeri dan luar pesisir, adalah berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, 97.1 peratus atau RM566.1 bilion adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.8 billion atau 2.9 peratus adalah hutang luar pesisir. Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

Mengikut MOF, selaras dengan keperluan pelaporan hutang di peringkat antarabangsa mengikut konvensyen standard Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kedudukan hutang luar negeri Malaysia dikira berdasarkan definisi baharu yang terdiri daripada pinjaman luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan, perusahaan awam dan sektor swasta; dan pegangan sekuriti hutang, deposit dan kredit perdagangan dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin.

Pada akhir 2014, jumlah hutang luar negeri Malaysia berada pada paras RM744.7 bilion atau 69.6 peratus daripada KDNK. Pada tahun 2013, hutang luar negeri ini berjumlah RM696.6 bilion atau 70.6 peratus daripada KDNK. Walaupun jumlah hutang luar negeri meningkat sederhana sebanyak 6.9 peratus, peratusannya kepada KDNK adalah lebih rendah berbanding tahun 2013.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 42 peratus adalah pegangan sekuriti hutang dan deposit oleh bukan pemastautin; 37 peratus adalah hutang sektor swasta; 10 peratus hutang perusahaan awam; sembilan peratus adalah kredit perdagangan dan lain-lain pinjaman serta dua peratus adalah hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan.

Hutang luar negeri berdasarkan definisi baharu mencerminkan paras pegangan sekuriti hutang dan deposit dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin yang tinggi, yang mencakupi lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang luar negeri. Ini adalah disebabkan oleh kedalaman, keterbukaan dan daya tarikan yang lebih meluas terhadap pasaran kewangan Malaysia. Pasaran kewangan Malaysia sudah berkembang dengan pesat hasil daripada kemajuan dalam liberalisasi sektor kewangan.

Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa hutang luar pesisir bagi Kerajaan Persekutuan adalah kecil, hanya meliputi dua peratus daripada jumlah keseluruhan hutang luar negeri berkenaan. Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan kekal tidak berubah dan rendah pada paras RM16.8 bilion atau 1.6 peratus daripada KDNK.

Berita Harian X