Rabu, 25 Februari 2015 | 7:17pm

Saham KL susut 16 peratus dalam dagangan lemah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dalam dagangan lemah hari ini dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 2.82 mata atau 0.16 peratus lebih rendah pada 1,815.86.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 427 berbanding 379, dengan 323 kaunter tidak berubah, 636 tidak diniaga dan 34 lagi digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.70 bilion saham bernilai RM1.90 bilion berbanding 2.18 bilion saham bernilai RM2.12 bilion semalam.

Dalam kalangan komponen FBM KLCI, Felda Global Ventures menerajui saham rugi dengan merosot 38 sen kepada RM2.56.

Penjual muncul ketika keuntungan sebelum cukai syarikat gergasi komoditi pertanian global untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 itu merosot 47.2 peratus atau kepada RM826.37 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Saham lain yang merosot ialah Kumpulan CIMB yang rugi 12 sen kepada RM5.90, SapuraKencana susut 13 sen kepada RM2.81, YTL Corporation turun tujuh sen kepada RM1.68 dan Genting jatuh 16 sen kepada RM8.87.

Saham yang menyokong indeks utama hari ini ialah Petronas Gas, yang naik 72 sen kepada RM23.72, MISC menambah 18 sen kepada RM8.23 manakala Astro menokok 17 sen kepada RM3.39 dan IHH Healthcare meningkat sembilan sen kepada RM5.48.

Indeks Emas FBM susut 19.11 mata kepada 12,513.37 dan Indeks FBMT100 turun 23.79 mata kepada 12,189.98, tetapi Indeks Syariah Emas FBM menokok 21.89 mata kepada 13,094.64. FBM 70 susut 44.91 mata kepada 13,526.42 manakala FBM Ace naik 18.05 mata kepada 6,628.35.

Antara saham aktif, Asia Bioenergy jatuh setengah sen kepada 12 sen, Sumatec menokok satu sen kepada 22 sen, Wintoni naik 3.5 sen kepada 18.5 sen dan Diversified Gateway untung dua sen kepada 13.5 sen.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 957.72 juta unit bernilai RM1.75 bilion berbanding 1.22 bilion bernilai RM1.96 bilion pada Selasa. Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 661.74 juta saham bernilai RM141.18 juta berbanding 877.89 juta saham bernilai RM144.99 juta semalam.

Waran meningkat kepada 76.65 juta unit bernilai RM14.29 juta berbanding 74.08 juta unit bernilai RM17.19 juta sebelum ini.

Produk pengguna menyumbang kepada 81.98 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk industri (132.12 juta), pembinaan (44.69 juta), perdagangan dan perkhidmatan (490.71 juta), teknologi (43.26 juta), infrastruktur (12.69 juta), SPAC (5.65 juta), kewangan (40.85 juta), hotel (3.42 juta), hartanah (70.54 juta), perladangan (23.92 juta), perlombongan (10,900), REITs (7.84 juta) dan tertutup/dana (2,000). - BERNAMA

Berita Harian X