Selasa, 24 Februari 2015 | 6:18pm

Mercedes-Benz panggil balik E-Class, CLS-Class untuk pembaikan

Gambar fail menunjukkan kenderaan keluaran Mercedes-Benz ketika di Sterling, Virginia pada Januari lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kenderaan keluaran Mercedes-Benz ketika di Sterling, Virginia pada Januari lalu. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia menarik balik kenderaan keluarannya bagi model E-Class dan CLS-Class tertentu selepas unit pemantau produknya Daimler AG menemui masalah pada pelekat getah di bahagian enjin model terbabit.

Syarikat dalam satu kenyataan, berkata ia sudah mengenal pasti semua kenderaan dan mendapati masalah itu hanya membabitkan sekumpulan terhad E-Class (Siri Model 212) dan CLS-Class (Siri Model 218).

"Pengedar sah kami akan memaklumkan kepada pelanggan yang berkenaan bermula pertengahan Mac ini. Kerja-kerja pembaikan dijangka hanya mengambil masa kurang satu jam," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Roland Folger, berkata syarikat mematuhi standard keselamatan paling tinggi dan akan menangani semua kenderaan yang terjejas pada kadar segera.

Untuk maklumat lanjut, pemilik boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Mercedes-Benz Malaysia menerusi talian 1-800-88-1133, Isnin hingga Jumaat.

Berita Harian X