Khamis, 5 Februari 2015 | 4:10pm

RHB sasar 10 peratus pertumbuhan penggunaan kad debit, kredit

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd menyasar meraih pertumbuhan 10 peratus dalam perbelanjaan kad kredit dan kad debit tahun ini.

Naib Presiden Kumpulan Perbankan Runcit, Lenon PS Cheong, berkata tahun lalu bank itu meraih pertumbuhan sekitar enam peratus dalam perbelanjaan kad, selari pertumbuhan perbelanjaan industri berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Sasaran pertumbuhan 10 peratus itu disandarkan kepada pertumbuhan perbelanjaan yang bakal dijana daripada pelbagai kempen menarik yang akan dilancarkan sepanjang tahun ini.

"Sebagai contoh, kempen Swipe Your RHB Debit Visa Card To Win selama tiga bulan yang diadakan daripada 17 September 2014 hingga 9 Disember 2014 berjaya mencatat pertumbuhan perbelanjaan runcit berjumlah RM33 juta.

"Ini pastinya memberikan kami inspirasi untuk membangunkan lebih banyak kempen menarik kepada pengguna pada masa depan," katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kempen Swipe Your RHB Debit Visa Card To Win di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbankan Runcit RHB Bank, U Chen Hock dan Pengurus Negara Malaysia Visa, Ng Kong Boon.

Lenon berkata, RHB Debit Visa berada pada kedudukan ketiga dalam senarai perbelanjaan terbesar dalam penggunaan kad debit jenama Visa di Malaysia.

Dalam pada itu, Lee Chee Kian, 44, dari Klang, Selangor muncul pemenang hadiah utama kempen Swipe Your RHB Debit Visa Card To Win.

Beliau membawa pulang Toyota Vios 1.5G.

Peserta kempen itu dipilih secara automatik daripada pemegang RHB Debit Visa Card.

Selain Toyota Vios 1.5G, hadiah wang tunai RM1,000 diberikan kepada 12 pemenang mingguan.

"Kempen ini direka dengan matlamat menawarkan pelanggan pengalaman ganjaran setiap kali mereka berbelanja menggunakan kad RHB yang mana mereka berpeluang memenangi hadiah menarik," kata Chen Hock.

RHB Bank akan terus melancarkan lebih banyak kempen menarik dalam bulan-bulan mendatang bertujuan memberi ganjaran kepada pelanggannya.

Memberi contoh, katanya pemegang kad SOGO-RHB Credit & Prepaid boleh meraih hingga 10 kali S-Point apabila berbelanja di Pusat Beli Belah Sogo, Kuala Lumpur setiap Rabu daripada Januari 2015 hingga Mei 2015.

Selain itu, pelanggan juga katanya berpeluang memenangi Honda Jazz bagi setiap RM1,000 wang perbelanjaan terkumpul menggunakan kad RHB daripada 15 November 2014 hingga 14 Mac 2015.

Berita Harian X