Jumaat, 23 Januari 2015 | 5:25pm

Mercedes-Benz kekal yakin dengan potensi Malaysia

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) akan terus melabur di negara ini biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi global akibat penurunan harga minyak serta kelemahan ringgit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Roland Folger, berkata syarikat yakin dengan potensi Malaysia untuk menyediakan peluang perniagaan termasuk industri pembuat kereta premium.

"Malaysia mempunyai banyak peluang perniagaan dan tiada alasan untuk kami tidak meneruskan pelaburan di negara ini.

"Bagaimanapun, pelaburan pada masa depan juga bergantung kepada sokongan kerajaan di negara ini terhadap pelan perniagaan secara keseluruhannya," katanya selepas penyerahan kunci oleh wakil pengedarnya, NZ Wheels Sdn Bhd di sini hari ini.

NZ Wheels hari ini melengkapkan penjualan lima kereta hibrid Mercedes-Benz S400L bernilai kira-kira RM3 juta kepada syarikat penyedia perkhidmatan eksklusif limosin, Metro Travel and Tours Service Sdn Bhd.

Mengenai kesan kelemahan ringgit terhadap syarikat itu, Folger berkata jualan kenderaan mewah itu dalam pasaran tempatan kebanyakannya dipacu jenis model serta produk keluarannya.

"Dari sudut positif, penurunan ringgit itu menjadikan produk kami lebih mampu dimiliki di luar Malaysia. Ini membantu dari aspek perniagaan dan eksport yang akan mempengaruhi perniagaan kami secara keseluruhannya," katanya.

Mercedes-Benz pada awal bulan ini berkata ia akan melabur RM280 juta hingga 2019 dan sebahagian besarnya bagi menaik taraf kemudahan kilang pengeluaran serta memperluaskan lagi jaringan pengedarnya.

Tahun lalu, syarikat itu melabur RM15 juta dalam kilang pengeluarannya di Pekan, Pahang, yang memasang kenderaan hibrid.

Berita Harian X