Selasa, 6 Januari 2015 | 2:31pm

Saham KL rendah seiring pasaran serantau

KUALA LUMPUR: Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri dagangan sesi pagi dengan 26.32 mata lebih rendah pada 1,710.30, yang diheret turun kerugian saham mewah terpilih.

Indeks petunjuk utama itu berlegar antara 1,730.94 dan 1,708.78 sepanjang sesi berkenaan.

Kerugian komponen indeks saham komposit didahului Maybank yang susut 35 sen kepada RM8.65, manakala Genting Bhd rugi 36 sen kepada RM8.37 dan Petronas Gas jatuh 66 sen kepada RM21.16.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 662 berbanding 88 dengan 176 kaunter tidak berubah, 813 kaunter tidak diniagakan dan sembilan lain digantung.

Kalangan peniaga mengaitkan sentimen itu sejajar dengan kebanyakan pasaran lain berikutan kejatuhan harga minyak mentah.

Di pasaran serantau, Nikkei 225 di Jepun jatuh 2.77 peratus kepada 16,927.11, Straits Times di Singapura susut 1.04 peratus kepada 3,315.70 manakala di Hong Kong, Hang Seng merosot 1.47 peratus kepada 23,373.56.

Pada papan skor tempatan, Indeks FBM Emas jatuh 178.53 mata kepada 11,743.11, Indeks FBMT100 merosot 175.99 mata kepada 11,489.27 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 145.20 mata kepada 12,251.79. Indeks FBM 70 susut 192.56 mata kepada 12,779.49, FBM Ace turun 90.57 mata kepada 5,692.60.

Jumlah dagangan di Bursa Malaysia pada tengah hari membabitkan 951.25 juta saham bernilai RM811.36 juta.

Antara kaunter cergas termasuk Iris Corp yang untung setengah sen kepada 33 sen, Minetech naik 1.5 sen kepada 12.5 sen manakala Hubline tidak berubah pada 4 sen dan Kronologi Asia susut 3.5 sen kepada 19 sen. - BERNAMA

Berita Harian X