Selasa, 9 Disember 2014 | 2:30pm

FBM KLCI rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.62 mata untuk meneruskan penurunan terdahulunya dengan mengakhiri sesi pagi pada 1,737.22 tengah hari ini, apabila jualan saham mewah ditambah dengan harga minyak mentah yang rendah mempengaruhi permintaan, kata para peniaga.

Seorang peniaga berkata pasaran terus terjejas ekoran penurunan harga minyak mentah yang kekal pada kira-kira AS$65 (RM226) setong.

Sepanjang sesi pagi, indeks utama itu berlegar antara 1,730.77 dan 1,741.31, kebanyakannya disebabkan oleh penurunan kaunter Petronas Gas dan CIMB.

Kedua-dua saham itu menyeret turun indeks komposit sebanyak 3.575 mata, dengan Petronas Gas turun 52 sen kepada RM21.46 dan CIMB susut 12 sen kepada RM5.35.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas turun 36.05 mata kepada 11,957.75, Indeks FBMT100 susut 27.89 mata kepada 11,685.72, FBM 70 menguncup 44.77 mata kepada 13,057.87, dan FBM Ace berkurangan 116.89 mata kepada 5,781.01.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 8.33 mata kepada 15,512.36, Indeks Perusahaan susut 10.92 mata kepada 3,157.52 manakala Indeks Perladangan jatuh 83.15 mata kepada 7,848.15.

Jumlah dagangan berjumlah 768.34 juta saham bernilai RM752.92 juta.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 548 berbanding 155, manakala 237 kaunter tidak berubah, 777 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.85, TNB naik enam sen kepada RM13.92 dan Public Bank meningkat 12 sen kepada RM18.30, bagaimanapun, Axiata jatuh satu sen kepada RM6.64.

Dalam kalangan kaunter cergas, Compugates naik setengah sen kepada 5.5 sen, Privasia turun satu sen kepada 12.5 sen dan Sumatec susut setengah sen kepada 22 sen. - BERNAMA

Berita Harian X