Selasa, 9 Disember 2014 | 11:04am
SALEHAH Mohamad, 67, bersama produk miliknya di Kawasan Perindustrian Bukit Kor, Marang Terengganu. - Foto Rosli Ilham
SALEHAH Mohamad, 67, bersama produk miliknya di Kawasan Perindustrian Bukit Kor, Marang Terengganu. - Foto Rosli Ilham

Salehah rumus resipi Rempah Tok Ma

DUNGUN: Berkat kesabaran mempelajari teknik mengadun rempah ratus daripada ibunya 35 tahun lalu, seorang ibu tunggal kini menikmati hidup selesa selepas mencipta nama sebagai usahawan rempah berjaya.

Kental berhadapan perit jerit dan tidak kenal putus asa, Salehah Mohamad, 67, dari Kuala Terengganu kini sudah mempunyai perusahaan sendiri, Anak Jasa (M) Sdn Bhd dan kilangnya itu beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Kor, Marang, Terengganu.

Mengikut Salehah, dia berguru dengan ibunya Mek Habsah Omar, yang sepanjang hidupnya memang terkenal sebagai pengadun rempah dan menjual keluarannya dari rumah.

Mengambil kira sambutan orang ramai terhadap produk rempah ratus keluaran ibunya, Salehah nekad memperbesarkan perusahaan itu bagi meneruskan resipi warisan keluarga serta untuk menampung sara hidup.

"Rempah masakan ibu memang menjadi pilihan masyarakat kampung. Sebab itulah saya nekad memperbesarkan perusahaan ini hingga mempunyai kilang sendiri apabila permintaan sangat menggalakkan," katanya ketika ditemui di sini.

Antara rempah yang dikeluarkan Salehah termasuk rempah kari ikan, rempah gulai nasi dagang, rempah kerutub, rempah kari daging, rempah gulai ayam dan daging serta rempah gulai nasi minyak.

"Ia adalah adunan resipi turun temurun yang menggunakan rempah asli iaitu cengkeh, ketumbar, jintan putih dan kulit kayu manis.

"Rempah kami bebas campuran bahan kimia dan pewarna, sebab itu Rempah Tok Ma menjadi pilihan ramai," katanya.

Biarpun tidak mempunyai pendidikan tinggi dan sekadar hanya pandai membaca, Salehah berkata, dia banyak meminta nasihat daripada pelbagai agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dan FAMA.

"Tunjuk ajar daripada semua agensi kerajaan membolehkan syarikat kami kini berdiri teguh serta dikurniakan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Sijil Skim Makanan Selamat Mesti," katanya.

Rempah Tok Ma kini dijual di 102 premis termasuk rangkaian pasar raya Giant di seluruh negara dan Salehah menyasarkan jualan dikembangkan ke kedai runcit dan pasar raya lain pada masa depan.

Tahun lalu, Anak Jasa (M) Sdn Bhd mencatat pendapatan RM300,000 dan syarikat menyasarkan pendapatan RM400,000 tahun ini menerusi gerak kerja yang sudah disusun untuk meluaskan rangkaian jualan.

Mengenai produk baharu, Salehah berkata, syarikat akan memperkenalkan rempah sate, beriani, laksa, sup bunjut, laksa dan barbeku.

Salehah berkata, sejak kematian suaminya Jaafar Abu Bakar, 81, lapan bulan lalu, dia terpaksa mengalas tugas di pejabat serta membantu lapan kakitangan di kilang.

Justeru, Salaheh turut melatih empat anaknya untuk mendalami selok belok operasi pengeluaran, pengurusan perniagaan serta adunan resipi Rempah Tok Ma.

Berita Harian X