Selasa, 25 November 2014 | 4:35pm

13,198 syarikat Bumiputera di bawah PPV tahun ini - Mustapa

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan , Datuk Abdul Majid Kutiran (berdiri kanan) menyaksikan pertukaran dokuman persefahaman di antara Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria (dua kanan) dengan Presiden Tenaga Nasional Berhad , Datuk Seri Ir Azman Mohd (kiri) di Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman Pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan , Datuk Abdul Majid Kutiran (berdiri kanan) menyaksikan pertukaran dokuman persefahaman di antara Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria (dua kanan) dengan Presiden Tenaga Nasional Berhad , Datuk Seri Ir Azman Mohd (kiri) di Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman Pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Lima lagi syarikat utama memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi melaksanakan Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera.

Syarikat berkenaan ialah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), CIMB Group Holdings Bhd, UMW Corporation Bhd, Pharmaniaga Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Pemeteraian MoU adalah tanda komitmen syarikat berkenaan dalam membantu kerajaan membangunkan syarikat Bumiputera sejajar Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 14 September tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata setakat tahun ini sebanyak 13 syarikat utama sudah melaksanakan PPV dengan 10 daripadanya adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berprestasi tinggi manakala tiga lagi syarikat tempatan.

"Di bawah 13 syarikat ini, sebanyak 2,599 syarikat vendor Bumiputera sudah didaftarkan dan berpeluang menikmati perolehan bernilai RM12.3 bilion daripada syarikat utama masing-masing," katanya pada majlis memeterai MoU antara MITI dengan lima syarikat utama PPV di sini hari ini.

Pada majlis itu, MITI diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

KTMB diwakili Presiden, Datuk Elias Kadir; CIMB oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd manakala UMW diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Syed Hisham Syed Wazir.

Mustapa berkata, secara keseluruhannya pada tahun ini, sebanyak 33,901 syarikat vendor berdaftar di bawah syarikat utama PPV.

Daripada jumlah berkenaan 38.93 peratus atau 13,198 adalah syarikat vendor Bumiputera manakala 61.07 peratus adalah syarikat vendor bukan Bumiputera.

"Nilai perolehan yang dinikmati oleh syarikat vendor Bumiputera adalah sebanyak RM32 bilion manakala nilai perolehan yang diberikan kepada syarikat vendor bukan Bumiputera RM34 bilion," katanya.

Sepuluh syarikat utama memeterai MoU pelaksanaan PPV pada 19 Ogos lalu termasuk Celcom Axiata Bhd, Boustead Naval Shipyard Sdn bhd, Sime Darby Bhd, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (PROTON), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd, Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan UEM Group Bhd.

Berita Harian X