Selasa, 11 November 2014 | 12:45pm
Sultan Nazrin mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Real Estate, Datuk Azmar Talib (kiri) mengenai projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX), sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani (kanan).

Asia bakal pemacu utama kewangan Islam - Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Rantau Asia terutama Asia Tenggara berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan kewangan Islam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah ia bersandarkan potensi Asia yang dijangka menyumbang lebih 50 peratus daripada pertumbuhan global menjelang 2018.

Baginda yang juga Penaung Diraja Inisiatif Kewangan Islam Malaysia, bertitah Asia sedang menyaksikan pertumbuhan pesat kekayaan yang mana menjelang akhir tahun ini, sebilangan penganalisis mengunjurkan jumlah individu kaya di rantau ini bakal mengatasi Amerika Utara dan Eropah.

Titah baginda, menjelang 2030, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menjangkakan Asia akan mewakili 66 peratus daripada perbelanjaan kumpulan masyarakat pertengahan.

"Peratusan itu adalah peningkatan lebih enam kali ganda kepada 3.2 bilion orang daripada 525 juta pada 2009," titah baginda dalam ucapan perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2014 di sini hari ini.

Berita Harian X