Isnin, 10 November 2014 | 6:05pm

Kualiti rumah mampu milik masih tidak capai standard - CIDB

KUALA LUMPUR: Kualiti rumah mampu milik di negara ini masih belum mencapai standard yang ditetapkan, kata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan, Ahmad 'Asri Abdul Hamid, berkata daripada 700 projek yang dinilai CIDB di bawah Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (Qlassic), majoritinya ialah pembangunan perumahan kos sederhana dan sederhana tinggi.

"Berdasarkan penilaian itu, pemaju terbabit dalam segmen ini adalah syarikat yang mengadakan perbincangan dengan kami, dan bukan mereka yang membina rumah mampu milik," katanya selepas bengkel kerja media mengenai Qlassic hari ini.

CIDB juga sedang berbincang dengan Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk menilai projek perumahan mampu milik.

"Ia masih di peringkat perbincangan," katanya.

Ahmad juga berkata 237 projek dinilai bagi tahun ini saja dan kebanyakannya adalah projek kediaman berbanding bukan kediaman, kemudahan awam, antara lainnya.

"Kebanyakannya adalah kediaman berikutan permintaan pasaran dan bagi standard Malaysia, sebuah unit yang dinilai di atas skor 70 peratus dianggap sebagai baik. Angka yang berada di bawahnya, perlu ditambah baik," katanya.

Beliau berkata 30 peratus daripada projek yang dinilai setakat ini memperoleh skor bawah 70 peratus.

Sementara itu, Ahmad berkata penilaian Qlassic menilai kualiti sesebuah projek dan syarat struktur, kerja seni bina, aspek mekanikal dan elektrik di samping kerja luar.

"Sebagai contoh, reka bentuk bangunan perlu diseragamkan, tanpa mengambil kira sama ada ia rumah kos rendah, sederhana atau tinggi," katanya.

Beliau juga menggesa pembeli rumah memahami standard perumahan dan spesifikasi.

"Mereka harus memaklumkan dengan segera kepada pemaju bagi sebarang pembetulan apabila rumah siap.

"Orang ramai mempunyai budaya hanya menerima dan mengabaikan kerosakan yang ditemui dalam rumah. Mereka sepatutnya memfailkan aduan dengan pemaju dan membetulkan kerosakan itu, kerana ia akan menjimatkan kos pembaikan pada masa depan.

"Ini perlu dilakukan sebelum kunci diserahkan," kata Ahmad. - BERNAMA

Berita Harian X