Sabtu, 8 November 2014 | 8:33am

APEC mesti jayakan perdagangan bebas serantau

BEIJING: Negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mesti mengguna pakai pelan tindakan dan meningkatkan usaha untuk merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) yang tidak mustahil dicapai walaupun rundingan dijangka kompleks dan mencabar.

Tokoh perbankan terkemuka, Tan Sri Azman Hashim, berkata ramuan penting untuk kerajaan mengguna pakai pelan tindakan itu ialah dengan terus meningkatkan liberalisasi perdagangan dan pelaburan, dan dalam proses itu, memperkukuh lagi penyepaduan ekonomi serantau.

"FTAAP sangat penting kepada ABAC memandangkan ia adalah pencapaian sebenar Matlamat Bogor Apec," kata Azman yang mempengerusikan bersama Kumpulan Kerja Kewangan dan Ekonomi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan menghapuskan halangan kepada perdagangan, mampu mengubah cara perniagaan dijalankan di APEC kerana kumpulan itu menyumbang 45 peratus kepada perdagangan dunia dan separuh daripada keluaran dalam negara kasarnya.

Matlamat Bogor yang dipersetujui oleh pemimpin APEC pada 1994, bertujuan merealisasikan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini menjelang 2010 untuk ekonomi membangun dan 2020 untuk anggota membangun.

Pada 2005, APEC melaksanakan kajian semula kemajuan Matlamat Bogor dan menerbitkan 'Pelan Tindakan Busan' untuk merancang kemajuan yang lebih baik.

Azman berkata, majlis perniagaan juga menghargai perakuan badan serantau itu ke atas Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Pakatan Pasifik sebagai blok penting ke arah merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas di Asia Pasifik.

"Kami menggalakkan kerajaan supaya menerima pakai pelan tindakan FTAAP yang memanfaatkan kemajuan dalam pelbagai rundingan perdagangan yang sedang berjalan.

"Setiap kerajaan akan mempunyai peranan untuk dimainkan dalam liberalisasi perdagangan dan pelaburan di rantau ini, dan kami memuji usaha kerajaan Malaysia dalam mengekalkan perdagangan bebas dan terbuka, selain memulihkan keyakinan pasaran," katanya dalam temu bual menerusi e-mel dengan BERNAMA.

Azman berkata, ini dilakukan dengan melaksanakan aturan perdagangan serantau dan dua hala, termasuk TPPA dan RCEP bagi melengkapkan pendekatan pelbagai hala menerusi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Kami tidak ragu-ragu bahawa rundingan FTA-FTA ini yang dikenal pasti sebagai laluan utama ke arah merealisasikan FTAAP, sangat kompleks dan mempunyai kesan yang luas, namun tidak mustahil dicapai," katanya.

Perjanjian ini, terutama RCEP, dengan Malaysia sebagai anggota Asean yang terlibat aktif, apabila dimuktamadkan dengan jayanya mampu mengubah cara perniagaan dijalankan di rantau ini, dengan menghapuskan halangan kepada perdagangan dan pelaburan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan mengoptimumkan operasi rangkaian bekalan.

"Oleh itu kami menggesa kemajuan substantif dibuat dalam rundingan perjanjian ini jika mereka mahu memenuhi keperluan perniagaan," katanya.

Mengenai pembiayaan infrastruktur, Azman berkata memandangkan pemulihan ekonomi yang rapuh, ABAC percaya bahawa sektor swasta melalui Perkongsian Awam-Swasta mempunyai kapasiti untuk membantu mengatasi jurang infrastruktur baharu muncul yang berada di luar skop kerajaan.

Mengenai keperluan untuk mewujudkan platform bagi kedua-dua sektor awam dan swasta untuk membincangkan objektif langkah-langkah bagi merealisasikan PPP yang berjaya, ABAC telah memulakan Perkongsian Infrastruktur Asia Pasifik (APIP) pada 2010.

"Tahun lepas, kami juga menubuhkan Forum Kewangan Asia Pasifik (APFF) yang kami percaya akan menjadi platform serantau bagi meningkatkan kerjasama antara pengawal selia dan industri kewangan untuk pembangunan pasaran kewangan di rantau ini," katanya

Platform ini akan memberikan pandangan baharu dan inovatif daripada perniagaan untuk dibincangkan dan akan membantu mempromosi pembiayaan sektor swasta bagi pelaburan infrastruktur.

ABAC juga menggesa ekonomi APEC untuk melipatgandakan usaha dalam meneruskan agenda Pusingan Doha WTO dan memerangi dasar perlindungan.

Pelaksanaan 'pakej Bali" sangat penting, khususnya Perjanjian Memudahkan Perdagangan, kata Azman.

Untuk tujuan ini, ekonomi APEC digesa menunjukkan kepimpinan yang lebih kukuh dalam memperluas Perjanjian Teknologi Maklumat (ACP) secara komersial dengan mengehadkan sensitivitinya dan saling menyokong matlamat liberalisasi yang diputuskan dalam rundingan awal ACP.

Azman yang juga Pengerusi AMBank Group Bhd, berada di ini untuk menghadiri Mesyuarat ABAC Keempat dan dialog tahunan dengan Pemimpin APEC dari 5 hingga 10 November, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada 10 dan 11 November.

Ditubuhkan pada 1989, APEC terdiri daripada 21 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Indonesia, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Taiwan, Amerika Syarikat, Papua New Guinea, Peru, Rusia dan Vietnam.

- BERNAMA

Berita Harian X