Rabu, 1 Oktober 2014 | 7:38pm

Malaysia berpotensi bangunkan perbankan peribadi Islam

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi hab perbankan peribadi Islam untuk menarik lebih ramai `individu bernilai bersih tinggi' (HNWI) dari serata dunia ke negara ini.

Profesor Kewangan Universiti Global Bagi Kewangan Islam (INCEIF), Prof Dr Shamsher Mohamad, berkata hingga kini ada lebih 2.6 juta individu HNWI di Asia yang secara terkumpul mengawal aset kewangan yang dianggarkan bernilai AS$8.4 trilion (RM27.53 trilion).

"Trend itu menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi perbankan peribadi oleh HNWI, sekali gus memberi peluang lebih besar untuk pembesaran simpanan di Asia.

"Justeru, Malaysia mempunyai kedudukan prasarana kewangan yang baik untuk membangunkan perbankan peribadi Islam yang pada masa sama akan meningkatkan lagi reputasinya sebagai peneraju dunia dalam perbankan Islam serta pasaran sukuk," katanya ditemui selepas persidangan mengenai 'Malaysia, Masa Depan Global Hab Perbankan Peribadi: Peluang dan Cabaran' di sini hari ini.

Persidangan itu anjuran kumpulan perbankan global, BNP Paribas Malaysia Bhd dan Pusat Pengurusan Kekayaan Islam (CIWM) INCEIF dengan kerjasama Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), membincangkan beberapa perkara utama menerusi perkongsian daripada pakar industri berkaitan.

Antara topik yang dibincangkan ialah tinjauan pasaran global perbankan peribadi, mewujudkan persekitaran berjaya bagi perbankan peribadi dan melihat hala tuju serta masa depan perbankan islam swasta di Malaysia.

Selain itu katanya, Malaysia mempunyai sokongan kerajaan yang kuat dalam usaha menjadikan negara ini sebagai hab perbankan Islam selain mempunyai pengalaman mengenai sukuk.

Berita Harian X