Jumaat, 10 Oktober 2014 | 10:37am
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan buku Rahsia Besar ketika meninjau persiapan akhir Bajet 2015 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam. Najib akan membentangkan Bajet 2015 di Parlimen pada 4 petang ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan buku Rahsia Besar ketika meninjau persiapan akhir Bajet 2015 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam. Najib akan membentangkan Bajet 2015 di Parlimen pada 4 petang ini. - Foto BERNAMA

Najib bentang Bajet 2015 pada 4 petang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 4 petang ini, bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Seperti pelan tindakan kewangan yang lain, Najib yang juga Menteri Kewangan semalam membayangkan bahawa Bajet 2015 adalah belanjawan 'pro-rakyat' dan meliputi pelbagai langkah mengurangkan beban kos hidup.

Antara lain, Bajet 2015 akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perdana Menteri juga menggariskan mengenai pentingnya program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"BR1M akan diteruskan kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto. Ia adalah sebahagian daripada rasionalisasi subsidi.

"Dengan mengalihkan subsidi menyeluruh kepada sokongan lebih bersasar, kami akan memperoleh nilai wang yang lebih baik," katanya.

Najib juga menegaskan mengenai pentingnya meneruskan langkah mengurangkan defisit kerajaan bagi memastikan bajet seimbang dicapai pada 2020.

Beliau menambah bahawa kerajaan kini dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran defisit fiskal, yang meliputi pengurangan defisit kepada 3.5 peratus menjelang akhir tahun dan tiga peratus pada akhir 2015. - BERNAMA

Berita Harian X