Khamis, 9 Oktober 2014 | 8:53pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang memperkemas ucapan Bajet 2015 yang akan dibentangkan esok. - Foto Twitter @NajibRazak
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang memperkemas ucapan Bajet 2015 yang akan dibentangkan esok. - Foto Twitter @NajibRazak

Najib tegaskan keperluan mengurangkan defisit menjelang Bajet 2015

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan mengenai pentingnya langkah berterusan untuk mengurangkan defisit kerajaan bagi memastikan negara mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Menjelang pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat esok, beliau berkata kerajaan kini dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran defisit fiskal, termasuk mengurangkan angkanya kepada 3.5 peratus menjelang akhir tahun dan tiga peratus menjelang akhir 2015.

"Salah untuk melepaskan beban hutang kepada generasi akan datang. Kita mesti wariskan ekonomi yang lebih kukuh dan hutang yang lebih kecil.

"Kita mesti lakukan apa yang tepat untuk ekonomi Malaysia, bukan yang popular," katanya dalam satu kenyataan.

Sambil berkata bahawa paras subsidi semasa tidak mapan, Najib yang juga Menteri Kewangan memperkukuh komitmennya ke atas rasionalisasi subsidi dengan menyatakan bahawa subsidi bahan api meningkat daripada RM1.6 bilion setahun pada 2002 kepada RM2 bilion sebulan pada 2014.

Beliau berkata, Bajet 2015 adalah belanjawan "pro-rakyat" yang meliputi langkah bagi mengurangkan beban kos hidup.

Najib juga berkata, bajet itu juga akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendidikan dan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik.

Perdana Menteri juga menyatakan mengenai pentingnya program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"BR1M akan terus menjadi sebahagian manifesto kami. Ia sebahagian daripada rasionalisasi subsidi. Dengan mengubah subsidi menyeluruh kepada sokongan lebih bersasar, kamu akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk wang," katanya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi bajet2015@treasury.gov.my dan layari www.treasury.gov.my untuk menonton ucapan secara langsung pembentangan Bajet serta memuat turun ucapan Bajet yang sudah dibentangkan, Laporan Ekonomi dan dokumen penting yang lain.

- BERNAMA

Berita Harian X