Isnin, 29 September 2014 | 5:24pm

Malaysia perlu keupayaan institusi dan inovatif - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah memberi ucapan pembukaan pada Forum Khazanah Megatrend 2014. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Sultan Nazrin Shah memberi ucapan pembukaan pada Forum Khazanah Megatrend 2014. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memiliki keupayaan institusi serta inovatif untuk memanfaatkan pertumbuhannya sendiri dan rantau ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pertumbuhan perlu berterusan dan merentasi generasi serta menyokong kualiti hidup secara optimum bagi mereka yang berada dalam ekosistem ekonomi.

"Akses kepada peluang mesti lebih inklusif dengan merentasi halangan sosioekonomi, terutama jurang kemiskinan," titah baginda pada perasmian Forum Megatrend Khazanah 2014 di sini hari ini.

Titah baginda, dimensi pertumbuhan sosio ekonomi sangat penting, dengan kejayaan negara wajar ditakrifkan menerusi hasil kejayaan individu dan kesejahteraan semua anggota masyarakatnya.

"Ekonomi moden sudah menyempurnakan seni perakaunan ke atas nilai yang dijana oleh pengeluaran, yang mengubah sumber kepada keluaran.

"Bagaimanapun, beta percaya bahawa pertumbuhan dengan pengeluaran, menyediakan perspektif yang tidak lengkap, kerana ia secara tersirat menandakan bahawa sumber yang tidak digunakan adalah sumber terbiar atau sia-sia, dan tidak sengaja menggalakkan pengeluaran berlebihan atas perbelanjaan kemampanan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah bahawa usaha mencari arah tuju pembangunan yang mapan bukan lagi suatu pilihan tetapi keperluan, dalam dunia yang dianggarkan mencapai jumlah penduduk 11 bilion, menjelang akhir abad ini.

"Ia sangat mencabar kerana kita terus terikat dengan paradigma pemilikan sumber.

"Pengenalan hak peribadi ke atas sumber secara tidak sengaja mendorong kita untuk menganggap diri kita sebagai pemilik sumber, dan oleh itu mengurangkan insentif untuk mengekalkan mereka untuk generasi akan datang," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah walaupun ada pendapat mengatakan bahawa hak persendirian akan memastikan pemegang hak membayar kos penggunaan sumber, kajian bagaimanapun menunjukkan bahawa bukan pemilik hak memberi perhatian yang lebih baik ke atas sumber berbanding mereka yang membayar untuk mendapat hak persendirian itu.

"Oleh itu, paradigma ini perlu diubah dan memihak kepada pandangan individu secara menyeluruh dan bukan pemilik sumber.

Ini bermakna hak ke atas keuntungan daripada sumber ini adalah sementara dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ia tidak musnah untuk turut dinikmati oleh generasi akan datang," titah baginda. - BERNAMA

Berita Harian X