Khamis, 11 September 2014 | 3:35pm
Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengumumkan prestasi industri komunikasi dan multimedia 2013. - Foto Asyraf Hamzah
Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengumumkan prestasi industri komunikasi dan multimedia 2013. - Foto Asyraf Hamzah

Industri komunikasi dan multimedia sumbang 4.7 peratus KDNK 2013

C&M merangkumi RM195.3 bilion atau 11 peratus permodalan pasaran Bursa

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Industri komunikasi dan multimedia negara (C&M) mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 4.5 peratus kepada RM53.4 bilion tahun lalu berbanding RM51.1 bilion tahun 2012.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengumumkan Laporan Prestasi Industri 2013 berkata, prestasi C&M dilihat stabil terutama sektor telekomunikasi apabila meraih pendapatan sebanyak 84.8 peratus daripada keseluruhan RM53.4 bilion, diikuti penyiaran (10.9 peratus), manakala selebihnya daripada sektor pos (2.4 peratus) dan lain-lain (1.9 peratus).

Berdasarkan pemodalan pasaran, industri C&M menunjukkan prestasi sederhana dengan peningkatan 2.3 peratus kepada RM195.3 bilion tahun lalu atau 11 peratus daripada jumlah pemodalan pasaran di Bursa Malaysia yang berjumlah RM1.702 trilion.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pendapatan industri C&M tahun lalu menyumbang 4.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Industri C&M negara menunjukkan peningkatan saban tahun, namun tahun lalu pertumbuhannya adalah sederhana, tetapi dari segi jumlah pendapatan terkumpul adalah lebih tinggi berbanding tahun 2012 (RM51.1 bilion) dan 2011 (RM47.9 bilion)," katanya dalam satu taklimat di sini hari ini.

Mengenai jalur lebar, Mohamed Sharil berkata, 20.3 juta orang melanggan perkhidmatan itu tahun lalu, yang mana 88.7 peratus daripadanya adalah pelanggan jalur lebar peranti mudah alih, manakala selebihnya adalah talian tetap.

Katanya, liputan perkhidmatan jalur lebar 4G LTE adalah lebih meluas tahun lalu dan dalam landasan tepat untuk mencapai liputan 50 peratus penduduk negara ini pada tahun 2017.

"Aspek mobiliti akan membolehkan penggunaan internet di mana saja dan pada bila-bila masa. Sebagai contoh, kaedah membeli-belah dalam talian akan meningkat dan bilangan pelanggan serta urus niaga seperti bil serta pembayaran dapat dijalankan dalam masa sebenar secara maya," katanya.

Internet berkelajuan tinggi juga membolehkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dipergiatkan dalam pelbagai bidang perniagaan yang mana dapat menjimatkan masa serta kos operasi.

Berita Harian X