Khamis, 4 September 2014 | 3:15pm

GST komponen penting transformasi fiskal

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar ditemubual wartawan selepas menghadiri forum Malaysia Business Insights 2014 anjuran Channel NewsAsia di sini hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar ditemubual wartawan selepas menghadiri forum Malaysia Business Insights 2014 anjuran Channel NewsAsia di sini hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah komponen penting pakej transformasi fiskal yang strategik untuk memenuhi struktur asas ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata struktur cukai semasa tidak lestari, yang mana hanya 2.2 juta atau 17 peratus daripada tenaga kerja di negara ini yang membayar cukai pendapatan.

"Pelaksanaan GST, yang mewakili peralihan negara ke arah struktur pendapatan negara maju, juga membolehkan pungutan cukai dibuat secara lebih berkesan daripada asas cukai lebih meluas," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum Malaysia Business Insights 2014 anjuran Channel NewsAsia di sini hari ini.

Abd Wahid berkata, bagi memastikan kelestarian fiskal untuk jangka sederhana dan panjang, kerajaan membuat komitmen untuk mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan dan memperoleh bajet seimbang menjelang 2020.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berucap pada forum Malaysia Business Insights 2014 anjuran Channel NewsAsia di sini hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berucap pada forum Malaysia Business Insights 2014 anjuran Channel NewsAsia di sini hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Langkah utama untuk mencapai sasaran fiskal itu ialah menerusi pengstrukturan semula sistem cukai sedia ada dan rasionalisasi subsidi bahan api.

Kerajaan sudah mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus tahun lalu.

"Kami jangka defisit fiskal terus berkurang kepada 3.5 peratus pada 2014," katanya.

Berhubung rasionalisasi subsidi bahan api, Abd Wahid berkata Kerajaan sudah mula mengurangkan subsidi bahan api sebanyak 20 sen seliter September tahun lalu.

"Langkah pengurangan lanjut subsidi akan diumumkan sejurus Kerajaan memuktamadkan pendekatan dan mekanisme," katanya.

Beliau berkata, satu daripada pendekatan yang sedang dipertimbangkan ialah memperkenalkan sistem subsidi sasaran untuk memastikan subsidi bahan api akan memberi manfaat golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Berita Harian X