Rabu, 10 September 2014 | 1:13pm
Presiden Filipina Benigno Aquino III (tengah) menyaksikan majlis penyerahan draf undang-undang asas Bangsamoro daripada Ketua Perunding Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Mohagher Iqbal (kiri) kepada Presiden Senat Franklin Drilon (kanan) di Istana Malacanang, Manila hari ini. - Foto EPA
Presiden Filipina Benigno Aquino III (tengah) menyaksikan majlis penyerahan draf undang-undang asas Bangsamoro daripada Ketua Perunding Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Mohagher Iqbal (kiri) kepada Presiden Senat Franklin Drilon (kanan) di Istana Malacanang, Manila hari ini. - Foto EPA

Aquino mahu undang-undang autonomi Muslim digubal segera

MANILA: Presiden Filipina Benigno Aquino minta Kongres supaya segera menggubal undang-undang bagi penubuhan kawasan autonomi Muslim di selatan negara berkenaan.

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian Mac lalu bagi menamatkan penentangan yang mengorbankan lebih 120,000 orang, mengakibatkan dua juta orang hilang tempat tinggal dan menggugat pembangunan di kawasan yang kaya dengan sumber asli itu. Harapan bagi mencapai perdamaian kemudian terjejas berikutan tuduhan pergerakan itu bahawa kerajaan memungkiri janji.

Berikutan rundingan yang diadakan dengan kumpulan terbabit, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akhirnya bersetuju untuk bubar dan menyerah senjata bagi pertukaran dengan kuasa untuk mentadbir ekonomi dan masyarakatnya sendiri di kawasan Bangsamoro itu.

Aquino cenderung untuk melihat perjanjian itu dipatuhi sebelum tempohnya tamat pada Jun 2016.

"Kami minta Kongres...untuk lulus rang undang-undang ini dalam masa sesingkat mungkin.

"Jika kita boleh lakukan ini, kita akan beri saudara Moro kita masa cukup untuk membuat persediaan, bagi mentadbir Bangsamoro," kata Aquino.

Pemimpin pergerakan itu dijangka akan mentadbir kawasan autonomi baharu itu dalam tempoh peralihan yang singkat sehingga pilihan raya pada Mei 2016, di mana MILF akan mengambil bahagian, sekali gus mentransformasi kumpulan gerila itu kepada parti politik. - REUTERS

Berita Harian X