Ahad, 16 Julai 2017 | 9:17pm
'Kafe Donald Trump' menarik perhatian pengunjung di Dhaka. - Foto AFP
'Kafe Donald Trump' menarik perhatian pengunjung di Dhaka. - Foto AFP

Kafe Trump jadi tarikan di Bangladesh

DHAKA: 'Kafe Donald Trump' menarik perhatian pengunjung yang tidak mengendahkan politik kontroversinya, sebaliknya lebih berminat ber'selfie' dengan poster bersaiz sebenar Presiden Amerika Syarikat itu.

Kafe di Dhaka itu dibuka Januari lalu oleh peminat setia Trump yang menolak dakwaan beliau 'anti-Islam', berkata pengunjung kafe bersetuju dengan pandangan itu.

"Jika beliau anti-Islam, Trump tidak akan melawat Arab Saudi dan bergembira di sana," kata pemiliknya, Shafiul Islam, 29.

Katanya, tiada satu pun keputusan Trump menjejaskan 144 juta penduduk Islam Bangladesh.

Agenda politik tidak terlintas di fikiran ramai pengunjung kerana lebih suka beraksi untuk bergambar dengan poster kadbod Trump yang diletakkan di pintu masuk kafe berkenaan.

"Pengunjung wanita paling meminatinya. Mereka ber'selfie' dengan gambar Trump. Kanak-kanak juga menyukainya," katanya.

Katanya, lebih ramai pengunjung gemar merakamkan gambar berbanding memesan makanan.

Kafe berkenaan menghidangkan masakan Thailand, China dan India, dengan hidangan khas diberi nama seperti 'Burger Trump'.

Saluran CNN ditayang bagi memberikan lebih gaya Amerika Syarikat manakala kata laluan wifi adalah 'Ivanka Trump.'

AFP

Berita Harian X