MOSCOW: Russia berjaya melancarkan sebuah satelit pengimejan dan 72 satelit-mikro ke orbit, semalam dari kosmodrom Baikonur di Kazakhstan.
Berita kejayaan pelancaran itu diumumkan oleh agensi angkasa Russia, Roscosmos dan pusat penyelidikan Glavcosmos.
"Roket Soyuz 2-1A yang membawa muatan satelit berjaya berlepas pada jam 6.43 pagi tadi (semalam)," kata Roscosmos dalam satu kenyataan.
Menurut agensi berita Russia, Glavcosmos, semua satelit berjaya diletakkan di tiga orbit berbeza pada jam 2.41 petang, semalam.
"Buat kali pertama di dunia, misi yang kompleks dan besar berjaya dibangunkan dan dilaksanakan," kata Glavcosmos.
Muatan utama membabitkan satelit Kanopus-V-IK, yang menyediakan kemudahan merakamkan imej bumi dari sudut lebih luas.
Satelit itu akan digunakan untuk mengesan kebakaran hutan atau mengemaskini topografi peta.
Sementara, 72 lagi satelit kecil terbabit adalah buatan Jepun, Jerman dan Kanada serta 62 satelit nano, iaitu CubeSats yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat. - AFP