Rabu, 5 Julai 2017 | 11:51am

'Isu Qatar dijawab pada masa sesuai'

 SHEIKH Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani. - Foto AFP
SHEIKH Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani. - Foto AFP

KAHERAH: Arab Saudi berkata, pihaknya dan tiga negara lain sudah menerima maklum balas Qatar terhadap 13 tuntutan dikemukakan dan akan menjawabnya pada masa sesuai.

Empat menteri luar dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir yang memutuskan hubungan diplomatik dan dagang dengan Qatar akan bertemu di ibu kota ini jam 1 tengah hari waktu tempatan. Sidang media dijangka diadakan selepas itu.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, menyerahkan maklum balas rasmi tuntutan berkenaan kepada Kuwait kelmarin, selaku pengantara pertelingkahan namun kandungannya tidak didedahkan.

Agensi berita rasmi Qatar melaporkan, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani menerima maklum balas bertulis daripada Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah, semalam.

Doha berkata, ia tidak akan tunduk kepada tekanan manakala 13 tuntutan yang dikemukakan wajar ditolak.

Al-Thani memberitahu sidang media semalam, senarai tuntutan empat negara berkenaan tidak realistik dan sukar dilaksanakan.

"Ia bukan mengenai keganasan, ia berkaitan menutup kebebasan bersuara," katanya.

Tuntutan termasuk menamatkan sokongan buat Ikhwanul Muslimin, menutup stesen Al-Jazeera, menurunkan hubungan diplomatik dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki di negara berkenaan.

Riyadh dan penyokongnya memutuskan hubungan udara, laut dan darat dengan Qatar, menutup laluan penting import termasuk makanan.

Mereka juga mengarahkan rakyat Qatar meninggalkan empat negara berkenaan dan mengambil pelbagai langkah ke atas firma dan institusi kewangan milik Doha. - AFP

Berita Harian X