Rabu, 20 Ogos 2014 | 8:21am
SERANGAN udara terbaharu tentera Israel hari ini menyebabkan empat terbunuh, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak berusia dua tahun - Foto REUTERS
SERANGAN udara terbaharu tentera Israel hari ini menyebabkan empat terbunuh, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak berusia dua tahun - Foto REUTERS

Israel bedil Gaza sebaik gencatan senjata berakhir

BANDARAYA GAZA: Israel dan Palestin meneruskan pertelingkahan di sempadan Gaza hari ini yang sekali gus menamatkan gencatan senjata serta rundingan damai yang ditaja Mesir.

Serangan udara terbaharu tentera Israel hari ini menyebabkan empat terbunuh, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak berusia dua tahun. Seramai 45 orang lagi dilaporkan cedera.

Sayap tentera Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, menyatakan Israel terlebih dahulu menembak dan melancarkan serangan sambil memberi amaran negara Yahudi itu akan 'menerima akibat kerana jenayah yang dilakukannya.'

Briged al-Qassam menyatakan, pihaknya membalas dengan menembak 34 roket ke arah Israel yang mengenai Tel Aviv dan bandar selatan Beersheva.

Tentera Israeli, dalam satu kenyataan, menyatakan mereka dibedil oleh kira-kira 50 roket Hamas namun melaporkan tiada yang cedera.

"Satu roket meletup di kawasan terbuka di metropolitan Tel Aviv," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tentera Israel menyatakan dua roket dibedil berhampiran Beersheva yang menempatkan lebih 200,000 penduduk Israel. - AFP

Berita Harian X