Rabu, 28 Jun 2017 | 9:26pm

Pyongyang arah Park Geun-hye dihukum mati

Park Geun-hye. - Foto AFP
Park Geun-hye. - Foto AFP

SEOUL: Rejim Korea Utara hari ini mengeluarkan arahan hukuman mati terhadap bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye dan ketua perisiknya yang didakwa merancang membunuh Kim Jong-un.

Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA), berkata siasatan membuktikan Geun-hye adalah dalang yang merancang pembunuhan 'pemimpin agung' mereka pada 2015.

Sehubungan itu, Pyongyang 'menjatuhkan hukuman mati terhadap pengkhianat, Geun-hye.

KCNA tidak menyebut sumber siasatan itu, tetapi akhbar Jepun minggu ini melaporkan bahawa Geun-hye pada 2015 pernah meluluskan pelan untuk menumbangkan pemimpin rejim Korea Utara.

Geun-hye disingkir pada Mac lalu kerana terbabit dalam skandal rasuah dan kini dalam tahanan ketika kesnya sedang dibicarakan di mahkamah.

Reuters

Berita Harian X