Rabu, 14 Jun 2017 | 11:04am

Arab Saudi nafi Qatar dikenakan sekatan

GAMBAR fail, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir semasa satu sidang akhbar bersama dengan Menteri Luar Jerman Sigmar Gabriel (tiada dalam gambar) di Kementerian Luar di Berlin, Jerman, pada 7 Jun lalu. - Foto EPA
GAMBAR fail, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir semasa satu sidang akhbar bersama dengan Menteri Luar Jerman Sigmar Gabriel (tiada dalam gambar) di Kementerian Luar di Berlin, Jerman, pada 7 Jun lalu. - Foto EPA

WASHINGTON: Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menolak dakwaan penutupan sempadan dan larangan menggunakan ruang udara ke atas pesawat milik Qatar adalah satu bentuk sekatan terhadap Doha.

Ketika ini, Qatar dan Arab Saudi hanya dipisahkan oleh sempadan daratan.

Doha menganggap tindakan Riyadh, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menutup ruang udara kepada pesawat Qatar Airways menjejaskan laluan yang biasa digunakan.

Bagaimanapun, Adel menegaskan tindakan yang diambil oleh negaranya adalah wajar.

Beliau kini berada di Washington bagi mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson.

"Tiada sekatan dikenakan ke atas Qatar. Qatar bebas untuk bergerak. Pelabuhannya dibuka, lapangan terbang juga masih beroperasi.

"Apa yang kami lakukan hanyalah melarang mereka daripada menggunakan ruang udara kami, iaitu hak kedaulatan kami.

"Sekatan untuk menggunakan ruang udara Arab Saudi hanya terhad kepada penerbangan Qatar atau pesawat milik Qatar, bukan orang lain.

"Pelabuhan Qatar juga masih beroperasi. Tiada sekatan terhadap mereka. Qatar masih boleh membawa masuk atau keluar barangan. Mereka hanya tidak boleh menggunakan perairan kami," katanya. - AFP

Berita Harian X