Isnin, 12 Jun 2017 | 6:44am

11 maut, lebih 900 banduan lari di Congo

Gambar fail, kawalan oleh pasukan keselamatan Congo. - Foto Reuters
Gambar fail, kawalan oleh pasukan keselamatan Congo. - Foto Reuters

KINSHASA: Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 930 banduan melarikan diri selepas beberapa penyerang tidak dikenali menyerbu penjara di Beni, kawasan timur laut Congo.

Serangan itu adalah insiden melarikan diri dari penjara kali keempat, sejak bulan lalu, sekali gus menunjukkan tahap keselamatan kian meruncing, sejak Presiden Joseph Kabila enggan meletak jawatan.

Penggal pemerintahan Kabila tamat pada Disember lalu.

Gabenor wilayah North Kivu, Julien Paluku dalam satu kenyataan berkata, penyerang terbabit menggunakan senjata berat dan membunuh lapan warden.

"Hanya tentera dan polis ada hak untuk mengepung dan mengawal musuh, yang melarikan diri sejak 3.30 petang (waktu tempatan," kata Paluku.

Katanya, kira-kira 30 banduan kekal dalam penjara dan perintah berkurung sudah dilaksanakan di Beni serta kawasan sekelilingnya. - Reuters/AFP

Berita Harian X