Jumaat, 9 Jun 2017 | 12:31pm

Misil khas serang kapal perang musuh Korea Utara

SEOUL: Pyongyang meraikan kejayaan ujian peluru berpandu anti kapal perang baharu yang dicipta khas bagi menyerang armada perang musuh yang mengancam Korea Utara.

Pelancaran misil itu semalam adalah ujian senjata kelima Korea Utara dalam sebulan, disaksikan pemimpinnya, Kim Jong-un, lapor agensi berita kerajaan KCNA.

Ia dilakukan tidak sampai seminggu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengetatkan sekatan ke atas Pyongyang.

"Pelancaran roket dikesan dan terkena tepat sasaran terapung di Laut Timur Korea," kata KCNA merujuk kepada Laut Jepun, menyaksikan dua kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat melakukan latihan minggu lalu.

USS Carl Vinson dan USS Ronald Reagen mengetuai latihan tiga hari sehingga 3 Jun lalu bersama 12 kapal AS dengan dua kapal Jepun sebagai menunjukkan kuasa kepada Pyongyang.

AS semakin mempamerkan kekuatan di rantau itu dengan kapal selam nuklear, USS Cheyenne seberat 6,900 tan yang biasanya ditempatkan di Pearl Harbor, turut tiba di pelabuhan Busan, Korea Selatan, Selasa lalu.

AFP

Berita Harian X