Khamis, 8 Jun 2017 | 9:13am

Agensi berita Qatar diceroboh

DUBAI: Siasatan awal mengesahkan agensi berita Qatar diceroboh dan kenyataan palsu dikaitkan dengan pemerintah negara itu disiarkan yang membantu mencetuskan perbalahan dengan negara Teluk lain, kata Kementerian Luar negara itu semalam.

Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara lain memutuskan hubungan dengan Doha pada Isnin lalu sebahagiannya disebabkan komen yang disiarkan di laman web Agensi Berita Qatar pada 23 Mei lalu.

Artikel memetik pemerintah Qatar, Emir Tamim bin Hamad al-Thani yang menentang konfrontasi dengan Iran, selain mempertahankan Hamas dan Hizbullah.

"Kementerian berkata, pasukan penyiasat mengesahkan proses pencerobohan menggunakan teknik tahap tinggi dan kaedah inovatif dengan mengeksploitasi jurang elektronik di laman web Agensi Berita Qatar," kata kementerian dalam kenyataan.

Ia tidak menyebut pihak yang melakukan pencerobohan itu.

Pegawai Amerika Syarikat dan Eropah berkata, walaupun agensi kerajaan AS dan pakar yakin agensi berita dan Twitter kerajaan Qatar diceroboh, mereka belum dapat memastikan pihak yang melakukannya.

Laporan CNN memetik pegawai AS tidak dinamakan memberi taklimat mengenai siasatan sebagai berkata, penggodam Russia disyaki melakukannya.

Moscow, bagaimanapun berkata, ia laporan palsu. - Reuters

Berita Harian X