Rabu, 7 Jun 2017 | 11:11am

IATA gesa hubungan udara Qatar disambung semula

KETUA Pengarah IATA, Alexandre de Juniac. - Foto Reuters
KETUA Pengarah IATA, Alexandre de Juniac. - Foto Reuters

CANCUN: Ketua Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa negara Teluk yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar supaya memulihkan semula hubungan udara dengan negara itu, dan memberi amaran ia akan mencetuskan gangguan perjalanan yang besar.

"Kami faham bahawa negara berhak menutup sempadan masing-masing. Namun perhubungan perjalanan dengan Qatar mesti dipulihkan secepat mungkin," kata Ketua Pengarah IATA, Alexandre de Juniac di luar mesyuarat tahunan kumpulan itu di Cancun, Mexico.

Aras Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yaman, Mesir dan Maldives memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar kelmarin atas dakwaan negara itu menyokong keganasan.

Langkah itu termasuk menutup sempadan darat dan laut kepada Qatar serta melarang pesawat Qatar daripada ruang udara mereka.

Beberapa eksekutif di mesyuarat IATA itu berkata, masih tidak jelas sejauh mana langkah itu akan menjejaskan perjalanan udara, ketika Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Akbar Al Baker tergesa-gesa meninggalkan mesyuarat itu, kelmarin.

"Kami berharap krisis ini akan selesai dan penerbangan bersambung seperti biasa," kata ketua Pertubuhan Syarikat Penerbangan Arab, Abdul Wahab Teffaha.

"Kita perlu memantau situasi dalam beberapa hari lagi. Sektor Doha-Dubai amat sibuk," kata ketua pegawai digital dan maklumat Emirates, Christoph Mueller.

"Penerbangan terakhir kami ke Qatar adalah beberapa jam lalu dan kami akan memaklumkan kepada orang ramai apabila tiba masanya," kata beliau. - AFP

Berita Harian X