Selasa, 6 Jun 2017 | 7:53am

Berbincang jalan penyelesaian - Iran

TEHRAN: Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif semalam, meminta Qatar dan negara jiran Teluk Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu mengadakan dialog bagi menyelesaikan pertikaian mereka.

"Jiran adalah kekal, geografi tidak boleh berubah. Paksaan bukan penyelesaian. Dialog itu adalah penting, terutamanya di bulan Ramadan," menurut Zarif menerusi akaun Twitter.

MOHAMMAD Javad Zarif. - Foto Aizuddin Saad
MOHAMMAD Javad Zarif. - Foto Aizuddin Saad

Zarif juga menelefon rakan sejawatannya di Qatar bagi membincangkan perkembangan terbaru dan bercakap dengan Menteri Luar negara Arab dan Islam termasuk Algeria, Turki, Indonesia dan Iraq,

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Ghasemi, dalam satu kenyataan berkata penyelesaian kepada pertikaian antara Qatar dan tiga negara jiran Teluk itu 'hanya boleh dilakukan menerusi kaedah politik dan keamanan dan dialog antara kedua pihak'.

Kelmarin, Arab Saudi, Bahrin, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Yaman dan terbaru, Maldives, mengumumkan ia memutuskan hubungan dengan Qatar, menuduh negara itu menyokong keganasan dalam krisis diplomatik terbesar di rantau itu.

Ghasemi berkata, ketegangan kemuncak antara negara jiran di selatannya itu ' tidak memberikan faedah kepada sebarang kerajaan di rantau berkenaan dan mengancam kepentingan semua', ketika dunia sedang 'menderita berhadapan keganasan dan tindakan pelampau'.

AFP

Berita Harian X