Selasa, 9 Mei 2017 | 6:14pm

12 maut nahas bas kemalangan, terbakar dalam terowong

BEIJING: Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak Korea Selatan dan dua lagi penumpang maut selepas sebuah bas sekolah dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar di sebuah terowong di bahagian timur China, hari ini.

Seorang pegawai konsulat Korea Selatan di bandar Qingdao memberitahu, kanak-kanak dari sekolah tadika itu berumur antara empat dan tujuh tahun dan tinggal di Weihei, wilayah Shandong, tempat kemalangan itu berlaku.

Jabatan Propaganda Weihei dalam laman web berkata berkata, seramai 12 orang maut dan seorang lagi cedera parah.

Namun, kewarganegaraan dua penumpang lain yang maut dan seorang yang cedera belum diketahui. Menurut agensi berita Xinhua, bas berkenaan terbakar di dalam terowong sekitar jam 9 pagi.

Sementara itu, agensi berita Yonhap yang memetik kenyataan daripada pejabat kedutaan Korea Selatan di Beijing menyebut dua yang terkorban adalah seorang kanak-kanak China dan pemandu bas manakala yang tercedera adalah seorang guru. - AFP

Berita Harian X