Isnin, 8 Mei 2017 | 10:24am

18 pelombong China maut hidu gas bocor

18 pelombong maut akibat terhidu gas bocor di sebuah lombong arang batu di wilayah tengah Hunan, China. - Foto au.news.yahoo.com
18 pelombong maut akibat terhidu gas bocor di sebuah lombong arang batu di wilayah tengah Hunan, China. - Foto au.news.yahoo.com

BEIJING: Sekurang-kurangnya 18 pelombong maut akibat terhidu gas bocor di sebuah lombong arang batu di wilayah tengah Hunan, China, Ahad lalu.

Bagaimanapun, seramai 37 lagi pelombong berjaya diselamatkan dan semuanya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Agensi berita Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan melaporkan, insiden itu berlaku di sebuah lombong di Jilinqiao, berhampiran perbandaran Huangfengqiao.

Menurut Xinhua, pasukan penyiasat dilaporkan menguji gas berkenaan, manakala polis menahan beberapa suspek yang dikaitkan dengan kemalangan itu.

Dalam pada itu, China adalah negara pengeluar arang batu terbesar di dunia dan sering berdepan dengan kes kemalangan maut di kawasan lombong.

Pada Mac lalu, 17 pelombong arang batu maut apabila lif yang digunakan untuk memindahkan pekerja jatuh di wilayah Heilongjiang di timur laut China.

Sementara, pada Disember lalu, letupan di dua lombong arang batu berasingan di pedalaman rantau Mongolia dan Heilongjiang membunuh sekurang-kurangnya 59 orang. - AFP

Berita Harian X