Isnin, 1 Mei 2017 | 6:20pm

Kapal pemusnah Jepun iringi kapal perang AS

 KAPAL pemusnah tentera laut Jepun, Izumo. - Foto AP
KAPAL pemusnah tentera laut Jepun, Izumo. - Foto AP

TOKYO: Sebuah kapal pemusnah tentera laut Jepun dilaporkan akan mengiringi kapal tentera AS di luar pesisir.

Tindakan itu dikatakan antara usaha Jepun meningkatkan peranan tenteranya di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Semenanjung Korea.

Kapal pemusnah itu, Izumo, bertolak dari pelabuhan Yokosuka, dekat Tokyo, pagi tadi.

Ia dijadual bertemu dan mengiringi kapal pembawa bekalan AS di Lautan Pasifik selatan Tokyo, lewat hari ini.

Media Jepun melaporkan, ia misi terbaharu di bawah undang-undang keselamatan terkini, yang membenarkan tentera Jepun memainkan peranan lebih besar dalam aktiviti luar negara.

Menurut laporan, kapal bekalan AS itu dijangka mengisi minyak sebuah kapal perang Amerika yang lain, termasuk kapal penggempur USS Carl Vinson, yang berada di rantau ini.

Kementerian Pertahanan Jepun hanya memaklumkan Izumo bertolak hari ini untuk mengambil bahagian dalam acara tentera laut antarabangsa di Singapura pada 15 Mei. - AP

Berita Harian X